Jumaat, 25 Oktober 2019 | 10:24am
KETUA Eksekutif, Sekretariat Program Kongres Maruah Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling hadir ke Bukit Aman bagi direkod keterangannya, hari ini.
KETUA Eksekutif, Sekretariat Program Kongres Maruah Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling hadir ke Bukit Aman bagi direkod keterangannya, hari ini.

Zainal Kling hadir beri keterangan di Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Ketua Eksekutif, Sekretariat Program Kongres Maruah Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling hadir ke Bukit Aman di sini, bagi direkod keterangannya, hari ini.

Beliau yang berkemeja putih, berkot coklat muda, berseluar gelap dan bersongkok, tiba di perkarangan pintu masuk Bukit Aman kira-kira jam 10 pagi tadi bersama beberapa kenalan rapat.

Zainal yang juga Pemegang Kerusi Majlis Raja-raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) kemudian masuk ke Bukit Aman dengan ditemani seorang peguam serta seorang wakil penganjur Kongres berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini dilaporkan berkata, polis membuka kertas siasatan susulan satu laporan polis dibuat ke atasnya berhubung ucapannya ketika Kongres terbabit.

Katanya, Zainal dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Zainal dalam ucapan pembukaan tirai Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam itu didakwa menyentuh isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Raja-Raja dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh ahli Penang Society for Tamil Advancement, Yoganathan Loganathan, sehari selepas Kongres berkenaan.

Kongres yang berlangsung pada 6 Oktober lalu itu turut disertai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta beberapa pemimpin tertinggi UMNO, PAS dan Pakatan Harapan.

Berita Harian X