Jumaat, 25 Oktober 2019 | 4:02pm

Berubahlah selepas keluar penjara - Hakim

KUALA LUMPUR: “Sudah ada isteri dan anak, kenapa masih buat jenayah”?

Hakim Mahkamah Sesyen menegur seorang mekanik yang dipenjara setahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan cubaan merompak, dua bulan lalu.

Hakim Mahyon Talib turut menasihati Mohamad Asyraf Mohd Shah, 24, supaya insaf dan berubah selepas bebas daripada penjara kelak.

“Bila dah keluar nanti, jangan ulang lagi. Insaflah. Belajar kemahiran di Penjara Kajang,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Mahyon menjatuhkan hukuman setahun penjara selepas tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan cuba merompak beg galas milik ahli perniagaan, Pung Tiong Seng, 40.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Asyraf didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas melakukan kesalahan itu di tepi jalan di hadapan Wisma MPL pada jam 3.15 pagi, 7 Ogos 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Mahyon memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu di Penjara Kajang bermula dari tarikh tangkap pada 15 Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal dan berat mengambil kira kecederaan di bahagian tangan yang dialami mangsa ketika bergelut dengan tertuduh.

“Saya percaya tertuduh mampu melakukan lebih daripada itu. Hukuman setimpal yang dikenakan akan memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarkat di luar sana,” katanya.

Tertuduh yang diwakili peguam, Zulkifli Awang merayu mahkamah memberikan hukuman paling minimum kerana anak guamnya penanggung utama keluarga.

“Anak guam yang ditahan sejak 15 Ogos lalu sehingga hari ini, cukup memberi iktibar kepada dirinya.

“Dia kini insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama,” katanya.

Berita Harian X