Sabtu, 26 Oktober 2019 | 3:26pm
Omar memeriksa barisan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Wanita Bilangan 20 Siri 4/2019 di Rawang, hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

'Penduduk ada maklumat pembunuh gajah' - Polis

RAWANG: Polis yakin penduduk berhampiran lokasi bangkai seekor gajah Pygmy Borneo yang ditemui mati dibunuh dalam sebuah ladang sawit di Beluran, Sabah pada Sabtu lalu, mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata buat masa ini pihaknya sedang mengenal pasti pemburu haram yang membunuh spesies haiwan dilindungi itu untuk mendapatkan gadingnya.

“Kita yakin penduduk di kawasan itu ada maklumat siapakah pelakunya.

“Kita masih jalankan siasatan untuk mengenal pasti dalang,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Wanita Bilangan 20 Siri 4/2019 di sini, hari ini.

Omar berkata, polis memohon kerjasama masyarakat setempat untuk menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya pemburu haram yang membunuh gajah berkenaan.

Sabtu lalu, gajah Pygmy Borneo dewasa itu ditemui mati dalam ladang sawit di Ladang Bimbingan 2, Blok 97S, Beluran dengan lima kesan luka, manakala dua gadingnya hilang.

Sabtu lalu, gajah Pygmy Borneo ditemui mati dalam ladang sawit di Ladang Bimbingan 2, Blok 97S, Beluran dengan lima kesan luka, manakala dua gadingnya hilang. - Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

Gajah terbabit dipercayai sudah tiga hari mati sebelum bangkai ditemui pekerja ladang sawit berkenaan.

Kelmarin, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew memaklumkan gading yang disyaki milik bangkai gajah pygmy Borneo itu berjaya ditemui berdekatan lokasi kejadian.

Ia ditemui pekerja ladang dalam kawasan semak di ladang sawit terbabit pada kira-kira jam 1 tengah hari.

Ini adalah kejadian kedua kurang sebulan selepas seekor gajah Pygmy Borneo ditemui mati dengan 70 kesan tembakan dan gadingnya juga dipotong di Sungai Udin, Dumpas, Tawau, bulan lalu.

Berita Harian X