Ahad, 27 Oktober 2019 | 12:28pm

1,600 karton rokok seludup dirampas

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan sindiket pengedaran rokok seludup dengan merampas 1,600 karton rokok yang dianggarkan bernilai RM304,000 di Kota Sentosa, di sini.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Sarawak, Superintendan Rosdi Inai berkata, rokok terbabit dirampas menerusi Operasi Libas di sebuah rumah kedai terbiar di kawasan berkenaan pada jam 10.45 pagi semalam.

“Hasil risikan dan maklumat awam, seramai sembilan pegawai dan anggota melancarkan operasi di rumah kedai terbiar itu dan pemeriksaan menjumpai rokok dipercayai belum lulus Kastam.

“Seorang lelaki yang disyaki penjaga premis terbabit berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Rosdi berkata, maklumat awal yang diperolehi mendapati rokok itu dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

“Kes ini diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Akta itu membawa kepada denda minimum 10 kali nilai barang dan maksimum 20 kali nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

PEGAWAI Pemerintah Batalion 11 PGA Sarawak, Superintendan Rosdi Inai (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas pada sidang media di Kuching, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad
Berita Harian X