X
Isnin, 28 Oktober 2019 | 12:58pm

Pesara guru rugi RM72,500 ditipu Macau Scam

KEPALA BATAS: Seorang pesara guru sanggup menyerahkan semua wang simpanannya berjumlah RM72,500 demi membersihkan nama daripada ‘rekod’ dadah dan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, tindakannya itu memakan diri apabila semua wangnya lesap ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank dan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata sebelum itu mangsa berusia lingkungan 60-an menerima panggilan telefon memaklumkan dia mempunyai tunggakan pinjaman peribadi.

“Pada mulanya wanita itu menafikannya sebelum panggilan disambungkan ke polis Kontinjen Negeri Sembilan yang memberitahu bahawa semakan kad pengenalannya mendapati terbabit dengan kes dadah dan pengubahan wang haram.

“Mangsa kemudian diminta untuk memindahkan kesemua wang ke dalam akaun yang diberikan kononnya bagi tujuan siasatan dan akan dikembalikan semula selepas kes selesai.

“Kerana terlalu takut, mangsa terpedaya dan memasukkan sejumlah wang sehingga RM72,500 secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa akhirnya sedar dirinya sudah ditipu dan membuat laporan polis kelmarin selepas menceritakan perkara itu kepada anaknya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X