Isnin, 28 Oktober 2019 | 1:45pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed (tengah) menunjukkan komik animasi 'Inisiatif Jalur dan Jalan Merah Manfaat Bersama' ketika sidang media di Kuala Lumpur, Rabu lalu. Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid (kiri) dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Mohd Roze Shaari (kanan). - Foto BERNAMA

Ahli sejarah bantu siasatan komik propaganda

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengatur sesi temu bual bersama pakar sejarah dari universiti tempatan bagi membantu siasatan kes komik propaganda bertajuk ‘Inisiatif Jalur dan Jalan - Meraih Manfaat Bersama’.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata temu bual itu membolehkan pihaknya mendapatkan pandangan pakar berhubung fakta yang terkandung dalam komik itu bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Polis akan temu bual pakar sejarah dari universiti tempatan dalam masa terdekat.

“Perincian lanjut mengenai latar belakang pakar itu dan berapa ramai yang ditemu bual akan diberitahu kemudian selepas selesai mendapatkan pandangan daripada pakar berkaitan.

“Kita juga tidak membuat sebarang tangkapan baharu berhubung isu sama,” katanya pada BH, hari ini.

Pada Rabu lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan pengharaman ke atas komik itu kerana mengandungi propaganda negatif dan menggugat ketenteraman.

Pada hari sama, tiga individu, termasuk bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung penerbitan dan pengedaran komik itu.

Berita Harian X