Selasa, 29 Oktober 2019 | 12:39pm
V Balamurugan (kiri) dan S Arivainthan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas pertuduhan memberi sokongan, memiliki dan mempamerkan item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). - Foto NSTP/Abdullah Yusof

Juruteknik, pemandu teksi didakwa sokong, miliki barangan berkaitan LTTE

KUALA KANGSAR: Seorang juruteknik dan pemandu teksi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sejak lima tahun lalu.

S Arivainthan, 27, dan V Balamurugan, 37, dituduh melakukan kesalahan itu di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) Sungai Siput (U) antara jam 6.30 petang hingga 11.45 malam pada 28 November 2014.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat atau dipenjara maksimum 30 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Shahruddin, di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Arivaithan diwakili peguam RSN Rayer manakala Balamurugan diwakili Mathhews Jude dan Farhan Fadzil.

Balamurugan turut berdepan tiga lagi pertuduhan iaitu dua pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE dan satu pertuduhan mempamer item berunsur perbuatan keganasan LTTE.

Bagi pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan, Balamurugan didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.40 pagi di dalam sebuah telefon bimbit jenama Samsung A7 di perkarangan Stesen Teksi Sungai Siput (U) pada 10 Oktober 2019.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan lain iaitu memiliki dan mempamer item berunsur keganasan pada jam 9.50 pagi di sebuah rumah di Taman Bukit Medan Sungai Siput (U) pada tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan bagi ketiga-tiga pertuduhan berkenaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau didenda dan dilucut hak mana-mana item berkenaan.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Terdahulu peguam kedua-dua tertuduh memohon kepada mahkamah supaya mempertimbang dan membenarkan ikat jamin kepada anak guam mereka dengan alasan tiada sebarang kenyataan atau izin yang menyatakan pertuduhan berkenaan mewajibkan mahkamah merujuk kepada mana-mana Seksyen atau kaedah dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Perkara itu bagaimanapun dibantah Aliff Asraf kerana jaminan tidak dibenarkan mengikut Seksyen 13 SOSMA bagi kes berkenaan atas alasan keselamatan.

Mahkamah kemudian menolak permohonan jaminan pihak pembelaan dan menetapkan 28 November sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyediaan dokumen.

Sementara itu, Rayer bersama rakan guam pembelaan ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu bahawa pihaknya akan membuat rayuan terhadap isu ikat jamin anak guam mereka di Mahkamah Tinggi Ipoh esok.

Berita Harian X