Selasa, 29 Oktober 2019 | 3:22pm
ROKOK dan minuman keras seludup bernilai RM551,150 yang dirampas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Operasi Libas yang dijalankan di tiga lokasi berasingan, di Miri. NSTP/Ihsan PDRM

Rokok, arak seludup RM551,150 dirampas

MIRI: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok dan arak bernilai RM551,150 di tiga lokasi berasingan di wilayah utara negeri ini melalui Ops Libas semalam.

Pegawai Memerintah PGA Batalion 12, Superintendan Tan Hiap Seng, berkata operasi khas itu dilakukan Cawangan Risik PGA Batalion 12 di Batu Niah dan Lawas, bertindak atas maklumat risikan serta aduan awam.

“Dalam operasi pertama pada jam 10 pagi, kita menyerbu sebuah kedai di Simpang Sepupok, Batu Niah sebelum menemui 179 karton rokok, 120 kotak bir dan 63 botol arak pelbagai jenama bernilai RM40,850.

“Turut ditahan seorang lelaki berusia 34 tahun dipercayai penjaga premis selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan keberadaan rokok dan arak berkenaan di premisnya,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Hian Seng berkata, serbuan kedua dilakukan pada jam 11 pagi di sebuah bangunan tidak bernombor di Simpang Batu Niah yang membawa klepada penemuan 1,670 karton rokok pelbagai jenama, dengan nilai pasaran semasa mencecah RM317,300.

“Ini disusuli serbuan ketiga di sebuah rumah di Jalan Kampung Temagis, Lawas pada jam 4 petang. Hasil pemeriksaan membawa penemuan 20 kotak bir bersama 1,000 karton rokok pelbagai jenama yang keseluruhannya bernilai RM193,000.

“Kesemua rokok dana minuman keras dirampas itu disyaki belum lulus cukai kastam dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Berita Harian X