Selasa, 29 Oktober 2019 | 4:04pm
- Ihsan FB PDRM
- Ihsan FB PDRM

KPN zahir ucapan takziah

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham Lans Koperal Muhammad Syakiran Shamsuddin dan isterinya, Allahyarham Nurul Asyikin Kamaruddin yang meninggal dunia dalam kemalangan, hari ini.

Muhammad Syakiran adalah anggota di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam.

Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Abdul Hamid turut menitipkan pesanan kepada semua warga PDRM supaya menjaga keselamatan diri.

“Mewakili seluruh warga PDRM, saya menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham Lans Koperal Muhammad Syakiran Samsuddin dan isteri, Allahyarhamah Puan Nurul Ashikin Kamaruddin yang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur, pagi tadi.

“Mereka meninggalkan seorang anak lelaki berumur satu tahun 10 bulan. Semoga roh mereka dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama golongan solihin. Al-Fatihah.

“Kepada warga PDRM, nasihat dari saya, jalankan tugas dengan penuh amanah namun jangan sesekali abaikan keselamatan diri,” katanya.

Pasangan suami isteri itu maut selepas motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah lori di Jalan Syed Putra di sini, kira-kira jam 8 pagi tadi.

Muhammad Shakiran, 30, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), manakala Nurul Ashikin, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, dilaporkan berkata pasangan itu dalam perjalanan dari arah Petaling Jaya menuju pusat bandar ketika kejadian.

Berita Harian X