X
Khamis, 31 Oktober 2019 | 8:43am
TIANG konkrit jatuh daripada sebuah treler di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Teworong Menora. - Foto ihsan bomba
TIANG konkrit jatuh daripada sebuah treler di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Teworong Menora. - Foto ihsan bomba

Polis tahan pemandu treler muatan tiang konkrit

KUALA KANGSAR: Polis menahan pemandu treler membawa muatan tiang konkrit yang terjatuh di atas lebuh raya di Kilometer 256.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Terowong Menora, di sini malam tadi.

Pemandu berusia 41 itu ditahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak arah utara susulan kemalangan yang mengakibatkan kematian dua lelaki menaiki kereta Honda City yang dihempap tiang konkrit berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, siasatan awal pihaknya mendapati treler membawa muatan keseluruhan 18 tiang konkrit itu dalam perjalanan menuju arah utara.

“Saringan awal air kencing terhadap pemandu treler muatan tiang konkrit sudah dibuat dan didapati negatif.

“Pemandu berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 9.30 malam tadi membabitkan tujuh kenderaan iaitu dua treler dan lima kereta.

Katanya, kenderaan terbabit adalah treler membawa muatan konkrit, Honda City, Perodua Axia, treler Scania, Nissan Sylphy, PROTON Iriz dan Mercedes Benz yang kesemuanya mengalami kerosakan remuk bahagian depan serta bumbung kecuali treler muatan tiang konkrit yang tiada kerosakan.

“Siasatan awal mendapati ketika sedang bergerak treler muatan tiang konkrit itu dipercayai mengalami masalah brek tidak berfungsi mengakibatkan kenderaan gagal dikawal ketika menuruni bukit.

“Sampai di tempat kejadian, pemandu treler itu dipercayai cuba mengelak dari melanggar kenderaan di hadapan dengan mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan mengakibatkan muatan dibawa jatuh.

“Dua tiang konkrit dipercayai jatuh di atas pembahagi jalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan satu daripadanya menghempap kereta Honda City dinaiki empat individu yang sedang bergerak di lorong kanan arah bertentangan menyebabkan dua maut dan dua parah.

“Tiang itu kemudian bergolek lalu dilanggar Perodua Axia dipandu lelaki berusia 24 tahun dan treler Scania dipandu lelaki berusia 50 tahun yang kedua-duanya menuju arah selatan dan turut cedera dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Katanya, tiang kedua pula dilanggar Nissan Sylphy di lorong tengah hala utara sebelum tiang itu dipercayai pecah dua dan dilanggar kereta PROTON Iriz serta Mercedes Benz dari arah sama, namun tiada kecederaan dilaporkan.

“Manakala 12 tiang konkrit jatuh di lorong kanan laluan ke utara dan baki empat lagi masih berada di atas treler yang kemudian berhenti di R&R Sungai Perak arah utara.

“Akibat kemalangan ini dua lelaki dalam Honda City disahkan mati di tempat kejadian dan dua wanita dalam kenderaan sama parah,” katanya.

Razali berkata, mangsa yang maut adalah pemandu Leong Woei Ser, 34, dan penumpang belakang, Cheah Kim Seng, 60, manakala dua lagi penumpang kereta berkenaan adalah Cheah Mee Yee, 27, dan Cheah Mun Yee, 30, yang kesemuanya beralamat di Hala Perpaduan Taman Saga, Ulu Kinta.

Katanya, waris mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian dan semua kenderaan terbabit dalam kemalangan itu dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar untuk siasatan lanjut.

“Saringan awal air kencing terhadap pemandu treler muatan tiang konkrit sudah dibuat dan didapati negatif.

“Pemandu berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X