Khamis, 31 Oktober 2019 | 1:24pm
ZAWANI (kiri) bersama Nur Zahirah dijatuhkan hukuman mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin dan monaacetylmorphines seberat 294.9 gram, tiga tahun lalu, di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. - Foto NSTP/Danial Saad

Dua wanita dihukum mati edar dadah

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini, hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap dua wanita kerana mengedar dadah jenis heroin dan monaacetylmorphines seberat 294.9 gram, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan kedua-dua tertuduh, Zawani Zulkifli, 33, dan Nur Zahirah Yusoff, 32, gagal mewujudkan keraguan munasabah terhadap kes di akhir kes pembelaan.

Akhtar berkata, selain keputusan dibuat mengikut peruntukan undang-undang, mahkamah juga mengambil kira jenis dadah heroin dan morfin yang disabitkan ke atas tertuduh.

“Selain itu, tiada keterangan menunjukkan kedua-dua tertuduh secara sukarela membantu dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah,” katanya ketika membacakan keputusan kes.

Pada 1 Oktober lalu, kedua-dua tertuduh diarah membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh.

Zawani dan Nur Zahirah yang bekerja sebagai jurujual itu memilih untuk memberi keterangan bersumpah di kandang saksi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar 212.7 gram heroin dan 82.2 gram monaacetylmorphines di sebuah kediaman di Park View Tower, Jalan Harbour Place Off Jalan Assumption, Seberang Perai Utara pada jam 4. 45 petang, 18 Disember 2016.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yasinnisa Begam Seeni Mohideen, manakala Zawani diwakili peguam V Parthipan, dan Nur Zahirah pula diwakili peguam Simon Murali.

Berita Harian X