Khamis, 31 Oktober 2019 | 5:04pm
PEGUAM Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PEGUAM Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Najib sakit mata, bicara 1MDB tangguh Isnin depan

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion dihadapi Datuk Seri Najib Razak yang memasuki hari ke-30 hari ini, ditangguhkan sekali lagi berikutan bekas Perdana Menteri itu mengalami jangkitan mata.

Perkara itu dimaklumkan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, ketika prosiding perbicaraan bermula kira-kira jam 2.30 petang.

Muhammad Shafee berkata beliau menerima panggilan telefon daripada anak guamnya menyatakan dia tidak dapat hadir perbicaraan kerana sakit mata.

“Terdahulu anak guam saya mendapatkan rawatan di ISEC (Pusat Pakar Sakit Mata Antarabangsa) kerana mengalami bengkak di kedua-dua belah mata.

“Pada awalnya, Najib disyaki mengalami konjunktivitis, namun akibat kekerapan masalah sakit mata, doktor mengesyaki sebaliknya dan melakukan ujian, katanya.

Muhammad Shafee berkata Najib mengalami alahan sehingga menyebabkan kedua-dua belah matanya bengkak dan terdahulu, dia memaklumkan ingin menghadiri perbicaraan dengan memakai cermin mata untuk menutup keadaan matanya.

Bagaimanapun, menurut Muhammad Shafee, bengkak mata yang dialami Najib terlalu besar, walaupun memakai cermin mata hitam.

Sehubungan itu, beliau memohon untuk perbicaraan kes ditangguhkan kepada Isnin ini selain turut mencadangkan perbicaraan Selasa depan dilanjutkan sehingga jam 6 petang bagi memastikan kelancaran kes.

Perkara itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, bagaimanapun beliau mencadangkan supaya perbicaraan dilanjutkan selama dua minggu.

Hakim kemudiannya mengarahkan perbicaraan kes itu didengar sehingga jam 6 petang selama dua minggu.

Pada 11 September lalu, Najib mendapat cuti sakit selama dua hari dan prosiding ditangguhkan kerana mengalami masalah kesihatan sama.

Pada 20 September 2018, Najib mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Beliau juga didakwa atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.

Berita Harian X