Khamis, 31 Oktober 2019 | 8:00pm
Pelukis wanita warganegara Finland membuat laporan polis selepas diragut dua lelaki di Jalan Sekerat, Sungai Petani. - Foto ihsan Pembaca

Pelukis Finland cedera diragut

SUNGAI PETANI: Seorang pelukis wanita warga Finland, cedera di tangan dan muka, selepas diragut dua lelaki dalam kejadian di Jalan Sekerat di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku jam 11.15 malam, ketika Mari Biomroos Heininen, 68, sedang bersiar-siar dengan seorang rakan lelakinya yang juga pelukis di sekitar kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata ketika kejadian berlaku, rakan mangsa berjalan di hadapannya pada jarak kira-kira 40 meter.

“Ketika kejadian, mangsa sedang melalui lorong yang sunyi sebelum didatangi suspek dari arah belakang dan terus meragut beg mangsa.

“Mangsa cuba menarik semula beg itu, namun salah seorang suspek bertindak memukulnya di kepala dengan menggunakan sebatang besi berwarna hitam menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berikutan itu, mangsa mengalami luka di muka dan tangan kanan akibat terjatuh.

Katanya, berdasarkan laporan, antara barangan yang ada dalam beg terbabit adalah pasport, kamera, wang tunai RM1,700, wang tunai Euro 1600 (RM7,464), Master Card, kad identiti, telefon bimbit jenis Iphone 5s dan lesen memandu.

Adzli berkata, hasil siasatan mendapati tiada Kamera Litar Tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

Katanya, mangsa dan rakan mangsa tiba di Malaysia sejak Rabu lalu untuk menyertai pameran lukisan yang akan diadakan pada Sabtu ini di Sungai Petani.

“Difahamkan mangsa akan pulang ke Finland pada Isnin depan selepas pameran lukisan berakhir.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X