Jumaat, 1 November 2019 | 11:55am

Pesara MUIP maut dipanah petir

KUANTAN: Seorang wanita yang juga pesara Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) maut dipanah petir ketika berada di belakang rumahnya di Kampung Baru Permatang Pauh dekat Pekan, semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa Nor Habibi Hasan, 50, ditemui tidak sedarkan diri oleh anaknya, Ahmad Baihaqi Abdul Hamid, 17.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razali Yusof, berkata difahamkan anak mangsa pergi ke bahagian belakang rumah mencari mangsa sebelum menemuinya dalam keadaan terbaring.

"Anak mangsa kemudian membawa membawa ibunya ke dalam rumah dan menghubungi ambulans.

"Bagaimanapun kakitangan perubatan yang tiba di kediaman itu mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Razali berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa maut akibat terkena panahan petir," katanya.

Berita Harian X