Jumaat, 1 November 2019 | 3:38pm
TIANG konkrit yang terjatuh dekat Terowong Menora, malam kelmarin. - Foto ihsan bomba
TIANG konkrit yang terjatuh dekat Terowong Menora, malam kelmarin. - Foto ihsan bomba

Pemandu treler dibebaskan dengan jaminan polis

KUALA KANGSAR: Pemandu treler membawa muatan tiang konkrit yang terjatuh dekat Terowong Menora sehingga mengakibatkan dua maut manakala dua lagi parah malam kelmarin, dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, berkata lelaki berusia 41 tahun itu dibebaskan selepas polis selesai mengambil keterangannya berhubung kejadian itu.

“Pemandu treler itu yang ditahan di di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak arah utara selepas kejadian itu juga didapati negatif dadah selepas saringan air kencing dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian di Kilometer 256.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan itu, dua lelaki maut manakala dua wanita parah selepas kereta Honda City dinaiki ditimpa tiang konkrit yang jatuh dari treler yang dalam perjalanan ke arah utara.

Mangsa yang maut adalah pemandu Honda City, Leong Woei Ser, 34 dan penumpang belakangnya Cheah Kim Seng, 60, manakala dua wanita yang menaiki kereta sama mengalami kecederaan parah.

Kejadian itu berlaku apabila treler yang membawa 18 tiang konkrit itu menghadapi masalah brek ketika mengelak kenderaan di hadapannya dan mengubah laluan dari lorong kiri ke kanan sehingga mengakibatkan 14 daripada tiang itu terjatuh.

Dua daripada tiang itu terjatuh di pembahagi jalan dengan satu daripadanya terpelanting dan menghempap kereta Honda City, manakala satu lagi bergolek dan dilanggar oleh kenderaan lain.

Sebanyak 12 tiang konkrit lagi terjatuh di laluan bertentangan manakala empat lagi tiang masih berada di atas treler ketika berhenti di R&R Sungai Perak arah utara.

Kemalangan jam 9.30 malam itu membabitkan tujuh kenderaan iaitu dua treler dan lima kereta jenis Honda City, Perodua Axia, Nissan Sylphy, PROTON Iriz dan Mercedes Benz.

Sebahagian besar kenderaan terbabit rosak berikutan terlanggar tiang konkrit berkenaan dan kejadian itu turut mengakibatkan kedua-dua laluan terhalang dan hanya dibuka semula selepas tiang konkrit itu dialihkan.

BH hari ini melaporkan polis menahan pemandu treler itu bagi membantu siasatan kemalangan berkenaan yang disiasat mengikut Sek 41(1) APJ 1987.

Berita Harian X