Sabtu, 2 November 2019 | 2:19pm
SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang melawan arus bertembung dengan ambulans berhampiran susur masuk ke Jambatan Pulau Pinang, di sini, awal pagi tadi. - Foto Ihsan PDRM

Penunggang lawan arus maut bertembung ambulans

GEORGETOWN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang melawan arus bertembung dengan ambulans berhampiran susur masuk ke Jambatan Pulau Pinang, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata dalam kejadian jam 1.20 pagi, ambulans berkenaan dalam perjalanan membawa seorang pesakit wanita berusia 62 tahun dari Hospital Pulau Pinang (HPP) ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Bagaimanapun, sebaik hendak memasuki susur ke jambatan, datang sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 19 tahun dari arah bertentangan lalu melanggar bahagian depan ambulans berkenaan.

“Pemandu berusia 40 tahun cuba mengelak ke tengah jalan tetapi motosikal terbabit melanggar bahagian depan ambulans menyebabkan dia maut di tempat kejadian.

“Semua penumpang ambulans termasuk seorang doktor dan jururawat tidak cedera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bedah siasat terhadap mangsa di HPP mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan parah di kepala.

HENG Kar How Andy, 19, maut dalam kemalangan di susur masuk ke Jambatan Pulau Pinang dari Pulau menghala ke Perai. - Foto Ihsan PDRM

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan saksi bebas selain rakaman litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, jika ada. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X