Sabtu, 2 November 2019 | 6:43pm
AB Aziz Che Embong (kanan) memeriksa 8,000 karton rokok dalam rampasan di tebing Sungai Golok di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, Lubok Stol, Rantau Panjang. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

PGA rampas rokok seludup RM2 juta

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8, Pengkalan Chepa merampas 1.6 juta batang rokok seludup bernilai lebih RM2.4 juta di Pengkalan Haram Kuala Jambu di sini, hari ini.

Penolong Pegawai Pemerintahnya, Ab Aziz Che Embong berkata, rampasan jam 4 pagi itu membabitkan 8,000 karton rokok yang dimuatkan di dalam 160 kotak.

Katanya, pihaknya membuat intipan sebelum mengesan lima lelaki sedang memunggah kotak ke dalam sebuah lori yang berada di tebing Sungai Golok di sebelah Malaysia.

“Sebaik anggota membuat serbuan, lima suspek melarikan diri dengan terjun ke Sungai Golok dan meninggalkan semua barang yang dipercayai diseludup dari Thailand.

“Mereka menggunakan modus operandi menjalankan aktiviti penyeludupan pada waktu tengah malam sehingga awal pagi selain memuatkan barangan di dalam lori yang boleh mengelirukan pihak berkuasa.

“Hasil siasatan, rokok itu bukan sahaja untuk pasaran di Kelantan malah seluruh negara,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara PGA Lubok Stol, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, pada Jumaat lalu, PGA dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas minyak masak dan tepung gandum bernilai RM50,000 yang cuba diseludup.

Berita Harian X