Ahad, 3 November 2019 | 9:07am

PGA Kelantan tahan 30 penjenayah rentas sempadan

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa, menahan 30 penjenayah rentas sempadan dengan jumlah rampasan bernilai lebih RM3.5 juta dalam tempoh dua minggu.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Deputi Superintendan Ab Aziz Che Embong, berkata tangkapan termasuk kes dadah dan ketum, penyeludupan haiwan, ayam sejuk beku, rokok dan rampasan beras.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil kerja keras pegawai dan anggotanya yang mengambil alih Ops Wawasan Kelantan daripada Batalion 7 pada 15 Oktober lalu.

“Kes terbesar setakat ini ialah tumpasnya cubaan menyeludup rokok dari negara jiran bernilai lebih RM2 juta di pangkalan haram Kuala Jambu di sini, semalam.

“Kita menggunakan pelbagai cara untuk mengekang jenayah dan penyeludupan di sempadan, selain sentiasa peka dengan gerakan penyeludup yang aktif tanpa mengira masa.

“Penyeludup cuba menukar taktik namun kita tidak akan membiarkan mereka bolos dengan membuat kawalan lebih ketat,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara PGA Lubok Stol di sini, semalam.

Ab Aziz mengakui cabaran perlu ditempuh pihaknya dengan keadaan muka bumi, semak-samun dan jarak sungai yang terlalu dekat, selain tiada tembok atau pagar antara dua negara.

Bagaimanapun, katanya, kekangan itu tidak mematahkan semangat anggota untuk terus membanteras jenayah bermula di sempadan sekitar Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga Rantau Panjang.

“Kita yakin dapat melaksanakan tugas dengan lebih baik menerusi kerjasama agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM),” katanya.

PEGAWAI Pemerintah Medan, Ops Wawasan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa, Deputi Superintenden Ab Aziz Che Embong (kiri) bersama anggotanya menunjukkan sebahagian 8,000 karton rokok bernilai lebih RM2.4 juta yang dirampas di dalam sebuah lori di Pangkalan Haram Kuala Jambu ketika sidang media dii Markas Taktikal PGA, Lubok Stol, Rantau Panjang. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X