Ahad, 3 November 2019 | 11:32am
KEADAAN kereta yang terbabas dan pemandunya maut di Kilometer 43, Jalan Kuching-Serian. Foto PDRM

Pemandu maut, pikap terbabas

SERIAN: Seorang wanita maut selepas kenderaan pikap dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang lampu di Kilometer 43, Jalan Kuching - Serian, di sini malam semalam.

Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Tan Lee Boi, 44, berasal dari Taman Serian dipercayai gagal mengawal kenderaannya jenis Toyota Hilux itu akibat permukaan jalan licin selepas hujan.

Impak pelanggaran menyebabkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata penumpang pikap itu, Voon Miaw Hua, 49, dilaporkan cedera di kepala dan badan.

“Mangsa datang dari arah Kuching menuju ke Serian dan setibanya di lokasi kejadian, kenderaan dipandunya tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar dua tiang lampu yang terletak di bahagian pembahagi jalan sebelum terbabas ke laluan bersebelahan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Daerah Serian untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 9.25 malam.

“Setibanya di lokasi didapati sebuah kenderaan terbabas di laluan bertentangan dan pemandunya tersepit di tempat duduk.

“Anggota kami mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan ‘rescue tools’ dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Berita Harian X