Isnin, 4 November 2019 | 1:01pm
VIDEO tular pergaduhan di pekarangan Pintu Utama Granstand SIC.

Polis tahan suspek pergaduhan di SIC

SEPANG: Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan di Pintu Utama Grandstand Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, semalam.

Ketika kejadian jam 3.45 petang itu, suspek berusia 32 tahun dipercayai menumbuk seorang petugas lelaki berusia 24 tahun kerana tidak berpuas hati dengan cara petugas terbabit menegurnya.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah, berkata pergaduhan berpunca apabila lelaki warga Indonesia terbabit ditegur oleh petugas kerana menendang pagar.

“Suspek terbabit terus menyerang dan menendang mangsa tetapi mangsa sempat menepis.

“Suspek kemudian menumbuk mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di bibir,” katanya kepada media, di sini hari ini.

Zulkifli berkata susulan kejadian itu, mangsa menerima lima jahitan di bibir dan suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, satu video berdurasi 24 saat tular di media sosial, menunjukkan suspek cuba menendang mangsa namun berjaya ditepis.

Difahamkan, suspek cuba untuk memasuki pekarangan Pintu Utama Granstand SIC berkenaan walaupun perlumbaan sudah hampir tamat.

Semalam, SIC menjadi lokasi bagi perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu lalu.

Berita Harian X