Isnin, 4 November 2019 | 1:17pm

Prosiding komital Peguam Negara ditangguh hingga keputusan rayuan

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner hari ini membenarkan permohonan Peguam Negara untuk menangguhkan prosiding komital terhadapnya sehingga rayuan terhadap keputusan mahkamah itu yang membenarkan prosiding berkenaan dijalankan, dilupuskan di Mahkamah Tinggi.

Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan itu hari ini selepas mendengar permohonan, afidavit dan hujahan kedua pihak.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak mempunyai maklumat konkrit mengenai rayuan responden yang dianggap oleh Mahkamah Tinggi sebagai rayuan jenayah.

Katanya, beliau menganggap prosiding yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi sangat substantif kerana jika Mahkamah Tinggi itu membenarkan rayuan berkenaan, ia akan memusnahkan asas kepada permohonan komital.

“Kalau ditangguhkan permohonan komital ini, situasi memalukan dapat dielakkan, memandangkan keputusan rayuan itu sudah ditetapkan pada 25 November.

“Mahkamah Tinggi juga sudah menetapkan untuk mendengar notis usul pemohon untuk batalkan notis rayuan itu,” katanya.

Rofiah berkata, jika Mahkamah Tinggi membenarkan notis untuk membatalkan rayuan Peguam Negara itu, prosiding komital boleh diteruskan.

Beliau juga menetapkan 25 November ini untuk pengurusan kes komital itu.

Pada 16 Julai lalu, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, memfailkan permohonan perintah komital kepada Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya, anggota bomba, Muhammad Adib, 24, yang maut selepas terbabit dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield pada 27 November tahun lalu.

Permohonan sebelah pihak itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

Katanya pada 27 Ogos lalu, Rofiah membuat keputusan untuk prosiding itu didengar sebelum Peguam Negara melalui Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap keputusan Koroner itu, dua hari kemudian.

Peguam Hanif Khatri Abdulla mewakili keluarga Mohd Kassim.

PEGUAM, Mohamed Haniff Khatri Abdulla (dua dari kanan) selepas prosiding Mahkamah Koroner yang membenarkan permohonan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk menangguhkan prosiding kes komital (menghina mahkamah) dihadapinya berhubung punca kematian Muhammad Adib. - Foto Sairien Nafis
Berita Harian X