Selasa, 5 November 2019 | 1:47pm
Shahrol Azral (kiri) hadir pada perbicaraan bagi kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Syarikat usaha sama 1MDB-PSI gagal - Shahrol Azral

KUALA LUMPUR: Syarikat usaha sama di antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Ltd (PSI) yang ditubuhkan pada tahun 2009 adalah sebuah syarikat usaha sama yang gagal.

Perkara itu diakui bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Shahrol Azral yang juga saksi pendakwaan kesembilan berkata demikian ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan balas.

Soalan itu timbul apabila Muhammad Shafee merujuk saksi dengan dokumen berkaitan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB pada 5 Julai 2010.

Muhammad Shafee: Adakah kamu setuju bahawa usaha sama dua syarikat (1MDB-PSI)

iaitu pada nisbah 40:60 peratus itu adalah gagal?

Shahrol Azral: Setuju

Menerusi perjanjian usaha sama pelaburan strategik terbabit, PSI memiliki pegangan saham sebanyak 60 peratus manakala pegangan saham selebihnya iaitu 40 peratus adalah milik 1MDB.

Dalam perbicaraan sebelum ini, 1MDB dimaklumkan bahawa menerusi perjanjian usaha sama itu 1MDB menyuntik dana berjumlah AS$1 bilion manakala PSI hanya menyuntik dana berjumlah AS$108 juta.

Muhammad Shafee kemudian merujuk pula saksi kepada dokumen berkaitan projek usaha sama (1MDB - PSI) melalui pelaburan GDF Suez dan bertanya sama ada ia ditunjukkan kepada Najib, yang dijawab saksi, ‘ada’.

Shahrol Azral berkata, kertas kerja pelaburan GDF Suez itu disediakan Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil sebelum 5 Julai 2010.

“Ahli Lembaga Pengarah 1MDB mendapatkan nasihat Najib ketika itu selaku Pengerusi sebelum melaburkan dana 1MDB ke dalam projek Suez.

“1MDB bagaimanapun tidak meneruskan pelaburan dalam projek itu (GDF Suez) tetapi menyalurkan AS$500 juta kepada PSI menerusi program di bawah Murabaha,” katanya.

Sementara itu, Shahrol Azral menafikan cadangan Muhammad Shafee bahawa beliau (saksi) turut serta dalam konspirasi untuk menjatuhkan Najib.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

Berita Harian X