Selasa, 5 November 2019 | 5:58pm
PEGUAM, Ram Karpal Singh (kiri) bersama Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji (kanan) hadir bagi pendengaran permohonan habeas corpus dikemukakan 12 individu termasuk dua ADUN berkaitan kumpulan pengganas LTTE, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Zulfadhli Zulkifli

LTTE: Mahkamah Tinggi tolak permohonan habeas corpus

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan habeas corpus (penahanan salah) dikemukakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan tiga individu lain yang didakwa ada hubungan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan habeas corpus terbabit kini bersifat akademik dan tidak lagi dilihat relevan.

Ahmad Shahrir dalam penghakiman berkata penahanan dan tangkapan kesemua individu terbabit sudah berakhir apabila mereka dituduh di mahkamah.

Dalam prosiding hari ini, kesemua mereka iaitu ADUN Gadek, G Saminthan; ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran bersama tiga individu lain iaitu S Chandru, V Suresh Kumar serta S Arivainathan diwakili peguam, Ramkarpal Singh

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Sinti mewakili kesemua responden iaitu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay; Inspektor Jasveer Singh; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga kelima.

Dalam pada itu, Ramkarpal ketika ditemui media berkata pihaknya akan memfailkan permohonan baharu bagi mencabar peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, jam 10 pagi esok.

Sebelum ini, Ramkarpal memohon satu writ habeas corpus dikeluarkan mahkamah supaya dibebaskan serta-merta daripada tahanan, selain turut memohon relif lain yang dianggap adil dan sesuai oleh mahkamah.

Antara alasan mencabar penahanan termasuk melanggar prinsip hak kesamarataan undang-undang selain tidak mempunyai akses kepada peguam ketika kejadian.

Berita Harian X