Rabu, 6 November 2019 | 8:15am
Anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) menyoal siasat pasangan yang dicekup berkhalwat di sebuah rumah sewa di Mergong. - Foto ihsan JAIK

Sebulan berkenalan sudah ditangkap khalwat

ALOR SETAR: Seorang lelaki berstatus suami dicekup berkhalwat bersama seorang wanita yang baru dikenalinya sebulan lalu di sebuah rumah di Mergong, di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 39 tahun yang juga penjawat awam di negeri ini dicekup pada jam 11.45 malam oleh sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib, berkata berdasarkan maklumat awam, pihaknya melakukan pemeriksaan di sebuah rumah yang disyaki disewa lelaki berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat lapan bilik di rumah itu yang diubahsuai dijadikan bilik sewa.

“Selepas mengetuk pintu dan memberi salam, lelaki terbabit membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan dalam bilik berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati seorang wanita memakai singlet dan berseluar jeans sedang duduk di atas tilam bilik berkenaan,” katanya.

Radzi berkata, hasil pemeriksaan mendapati pasangan itu tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri, malahan mereka mengaku baru mengenali sejak sebulan lalu.

Katanya, lelaki itu berasal dari Perak, manakala pasangannya berasal dari Pahang dan bekerja di sebuah premis mesin judi di bandar raya ini.

“Pada awalnya, lelaki yang hanya berseluar pendek tanpa baju itu cuba melarikan diri melalui pintu belakang rumah itu, namun gagal apabila anggota kami mengepung di rumah berkenaan.

“Mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat dan kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014,” katanya.

Radzi berkata, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Berita Harian X