Khamis, 7 November 2019 | 5:39pm
Gambar terakhir mangsa, Stanley Seli, 11, di kedai makan sebelum hilang dipercayai tersesat di kawasan belakang Rumah Panjang Galin Andam di Jalan Bintulu-Miri. - Foto Erika George

Operasi SAR kanak-kanak hilang di hutan dipergiatkan

BINTULU: Usaha pencarian seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai tersesat di kawasan belakang Rumah Panjang Galin Andam, Jalan Bintulu - Miri sejak dua hari lalu diteruskan hari ini.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, berkata mangsa, Stanley Seli, 11, dilaporkan hilang sejak jam 8 pagi, Selasa lalu, selepas dipercayai masuk ke dalam kawasan hutan di belakang rumah panjag berkenaan.

“Pada mulanya, ibu bapa mangsa menunggu kepulangan anak lelaki mereka itu, namun mula bimbang selepas kanak-kanak berkenaan tidak pulang ke rumah menjelang tengah hari.

“Bimbang sesuatu buruk berlaku, ibu bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan Stanley bagi membolehkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, operasi itu yang membabitkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintulu turut menggunakan khidmat anjing pengesan.

“Setakat ini, belum ada sebarang petunjuk positif dan usaha pencarian bertumpu di kawasan berkeluasan tiga kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

“Usaha pencarian hari ini yang bermula jam 8 pagi tadi mensasarkan pencarian sekitar hutan belakang rumah panjang dan tebingan sungai berdekatan,” katanya.

Beliau berkata, kali terakhir mangsa dilihat keluar dari rumah panjang memakai baju singlet berwarna biru dan berseluar panjang warna kelabu.

Berita Harian X