Jumaat, 8 November 2019 | 3:09pm
Stanley Seli.

Tiga hari hilang, muncul semula di balai polis

BINTULU: Selepas tiga hari dilaporkan hilang, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun muncul di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, di sini kira-kira jam 8 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata berikutan perkembangan positif itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan serta-merta.

“Difahamkan, kanak-kanak itu sudah diambil keterangannya oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bintulu bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung kehilangannya,” katanya.

Kehilangan Stanley Seli, 11, dilaporkan oleh ibu bapanya di Balai Polis Bintulu, Rabu lalu kerana bimbang sesuatu buruk berlaku ke atas anak lelaki mereka itu.

Difahamkan, kanak-kanak itu memasuki kawasan hutan di belakang Rumah Panjang Galin Andam di Batu 8, Jalan Bintulu - Miri, Selasa lalu, sebelum kehilangannya disedari.

Berikutan itu, usaha pencarian dilakukan oleh penduduk rumah panjang berkenaan, namun menemui jalan buntu sebelum laporan polis dibuat keesokannya.

Bertindak atas maklumat itu, operasi SAR dilancarkan oleh JBPM Sarawak dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bintulu, dengan penumpuan di kawasan hutan dan sungai berhampiran lokasi kejadian.

Berita Harian X