Jumaat, 8 November 2019 | 8:31pm

Pelajar UniMAP hilang tanpa barangan peribadi

PADANG BESAR: Pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Tuan Ahmad Amar Tuan Azlan, 23 dilaporkan hilang selepas keluar dari kolej kediamannya di Uniciti Alam, Sungai Chuchuh, di sini, sejak pagi kelmarin.

Pelajar tahun keempat Fakulti Teknologi Kejuruteraan, dipercayai hilang selepas tidak pulang ke kolej kediaman sehingga jam 8 malam kelmarin oleh rakannya.

Difahamkan Tuan Ahmad Amar keluar tanpa membawa barangan peribadi seperti dompet dan telefon bimbit sehingga menyukarkan dirinya dikesan pihak universiti dan rakan-rakan kolej kediamannya.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, berkata pihaknya kini sedang giat mencari mangsa selepas laporan polis dibuat oleh pihak universiti, semalam.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan mangsa yang dilaporkan hilang sejak kelmarin.

“Setakat ini dia masih belum ditemui dan kita sedang berusaha untuk mengesan mangsa berada di mana sekarang,” katanya ketika dihubungi hari ini, sambil menyifatkan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH).

Berita Harian X