Jumaat, 8 November 2019 | 10:07pm
Rabu lalu, dua individu rentung selepas van dinaiki terbabit dalam kemalangan dalam kejadian kira-kira jam 6 petang. - Ihsan Bomba

Polis berjaya kesan waris mangsa rentung

SEREMBAN: Polis berjaya mengesan wanita dipercayai ibu salah seorang mangsa yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 262.3 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, berkata wanita itu sudah diminta ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, hari ini, untuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Bagaimanapun katanya, polis masih belum berjaya mengesan waris seorang lagi mangsa yang rentung dalam van jenis Nissan Vanette itu.

“Berdasarkan lesen memandu yang ditemui di lokasi kemalangan, seorang lagi mangsa dipercayai Kiew Ah Lai, 55, yang berasal dari Kedah.

“Justeru, waris mangsa diminta tampil segera bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Said berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, saksi yang melihat kejadian tampil membantu memberi keterangan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadzilah Ahmad di talian 06-6033394.

Rabu lalu, dua individu rentung selepas van dinaiki terbabit dalam kemalangan dalam kejadian kira-kira jam 6 petang.

Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu van tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan menyebabkan kenderaan itu terjunam ke dalam longkang besar lebuh raya.

Kenderaan itu terbakar 100 peratus manakala kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian.

Berita Harian X