Jumaat, 8 November 2019 | 11:52pm
Azrul (kanan) di Pusat Operasi Sementara JBPM Pantai Bagan Lalang. - Ihsan Bomba

Nelayan dikhuatiri lemas di Bagan Lalang

SEPANG: Seorang nelayan dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas keluar menangkap ikan berhampiran rumah api lama, Bagan Lalang, dekat sini, petang tadi.

Dol Naik, 50-an, Orang Asli berasal dari Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, di sini, dilaporkan keluar menangkap ikan menggunakan kaedah merawai dengan sebuah bot gentian kaca.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sepang, Azrul Faizal Maariff, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan nelayan itu daripada polis pada jam 8.15 malam dan tiba di lokasi mangsa dipercayai hilang pada 8.40 malam.

Azrul berkata, bot mangsa dijumpai pemancing kira-kira dua kilometer dari pantai Bagan Lalang pada jam 6.45 petang sebelum memaklumkannya kepada penduduk kampung.

“Berdasarkan maklumat, mangsa dilaporkan keluar ke laut pada jam 11 pagi dan kejadian mungkin disebabkan mata rawai tersangkut pada pakaian mangsa dan dihanyutkan arus,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat (SAR) akan disambung pada jam 8 pagi esok disebabkan cuaca gelap.

“Esok pencarian ditumpukan di bahagian tengah laut kerana ketika kejadian air laut mulai surut dan berkemungkinan mangsa dibawa air ke tengah laut.

“Sehingga malam ini, seramai 10 anggota bomba ditugaskan di tempat kejadian dengan dibantu polis, Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Selangor dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Sementara itu, anak tiri mangsa, Mohd Amran Abdullah, 45, berkata kebiasaannya mangsa turun ke laut secara bersendirian pada sebelah pagi dan pulang sebelum jam 7 petang.

Katanya, kejadian itu dimaklumkan oleh nelayan tempatan apabila sekumpulan pemancing yang turun ke laut melihat sebuah bot kosong berpusing-pusing dipukul ombak.

“Kami sekeluarga berserah kepada Allah dan sekiranya berlaku perkara di luar dugaan, kami reda dengan ketentuan,” katanya.

Berita Harian X