Sabtu, 9 November 2019 | 12:17pm
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Bagan Lalang. - Foto Samadi Ahmad

Operasi cari nelayan lemas diteruskan

SEPANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan lelaki yang dikhuatiri lemas selepas merawai berhampiran rumah api lama, Pantai Bagan Lalang di sini, semalam, disambung semula pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sepang, Azrul Faizal Maarif, berkata gerakan mencari warga emas Orang Asli dari Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Dol Naik, 67, dimulakan jam 8 pagi tadi, selepas ditangguh tengah malam tadi.

Azrul berkata, pencarian malam tadi ditangguh pada jam 10.15 malam, namun pihaknya tetap meneruskan usaha mengumpul maklumat berkaitan kejadian daripada penduduk tempatan.

Katanya, seramai 15 anggota terdiri daripada JBPM, polis, Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Selangor dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia terbabit dalam SAR hari ini menerusi kaedah meninjau sekitar satu kilometer dari tempat kejadian.

“Empat bot pasukan keselamatan digunakan dalam SAR di samping mendapat bantuan nelayan yang turun ke laut bagi menyalurkan maklumat sekiranya terjumpa mayat mangsa di laut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.45 petang semalam, mangsa dilaporkan hilang di kawasan kejadian ketika merawai secara berseorangan.

Mangsa dilaporkan keluar ke laut kira-kira jam 11 pagi dan dikhuatiri lemas selepas bot gentian kaca dinaiki mangsa dijumpai sekumpulan pemancing, berpusing-pusing dipukul ombak, dua kilometer dari Pantai Bagan Lalang.

Berita Harian X