Sabtu, 9 November 2019 | 4:58pm
Muhammad Azam maut bersama rakannya, Nurul Insyirah dalam kemalangan di Kilometer 383 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Behrang, hari ini. - Ihsan PDRM
Keadaan motosikal selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 383 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Behrang, hari ini. - Ihsan PDRM

Tidak beritahu abang pergi konvoi

BEHRANG: “Saya sedih sebab arwah adik pergi konvoi bersama rakan tanpa memberitahu dan saya hanya mengetahuinya selepas menerima panggilan memaklumkan adik sudah meninggal dunia dalam kemalangan,” kata Mohd Nur Arif Abdullah, 18.

Mohd Nur Arif adalah abang kepada Muhammad Azam, 15 yang maut bersama rakannya, Nurul Insyirah Ab Aliyasok, 14, selepas motosikal dinaiki bersama remaja lelaki dan perempuan itu terbabit kemalangan di Kilometer 383 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, hari ini.

Menurut Mohd Nur Arif, arwah adiknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara kecuali mula berubah menjadi seorang yang tenang sejak kebelakangan ini dan kali terakhir mereka bersembang adalah malam kelmarin.

“Kali terakhir saya berjumpa, kami hanya berbual-bual kosong, arwah sebelum ini seorang yang cepat marah namun berubah menjadi tenang sejak kebelakangan ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River di sini, hari ini.

Bapa Nurul Insyirah, Ab Aliyasok Samad, 47, pula berkata, beliau sudah kira-kira dua tahun tidak berjumpa dengan anaknya itu selepas berpisah dengan isterinya dan hanya berhubung melalui telefon serta whatsapp.

“Saya memang terkejut apabila menerima panggilan telefon memaklumkan anak saya meninggal dunia kerana arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sepanjang saya berhubung dengannya.

“Saya reda dengan ketentuan ini dan yakin Allah lebih sayangkannya,” katanya.

Difahamkan, jenazah kedua-dua remaja itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung, Selangor, petang ini.

Sementara itu, rakan kedua-dua remaja itu yang turut mengikut konvoi berkenaan, Mohd Darwish Aiman Sharizan, 16, berkata beliau masih mengingati pesanan terakhir arwah yang memintanya dan rakan-rakan supaya tidak menunggang laju dan meninggalkannya.

Menurutnya, beliau dan rakan-rakan termasuk kedua-dua arwah menyertai konvoi tujuh motosikal ke Program Santai Anak Utara (SAU2019) yang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru di sini, hari ini.

“Kami berhenti rehat di Hentian Sebelah Tanjung Malim sementara menunggu rakan lain sampai sebelum memulakan perjalanan apabila mendapat berita motosikal dinaiki kedua-dua mereka terbabit kemalangan.

“Arwah (Muhammad Azam) seorang yang periang dan kami semua masih terkejut dengan kejadian ini, kami juga sudah membatalkan hasrat untuk menyertai SAU2019,” katanya.

Berita Harian X