Sabtu, 9 November 2019 | 5:34pm
Nasib Najib sama ada dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, akan terjawab Isnin ini. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
Nasib Najib sama ada dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, akan terjawab Isnin ini. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Kes SRC: Nasib Najib ditentukan Isnin ini

KUALA LUMPUR: Nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sama ada dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, akan terjawab Isnin ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan membuat keputusan di akhir kes pendakwaan selepas mendengar hujahan pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan barisan peguam bela Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 23 Oktober lalu.

Thomas menutup kes pendakwaan selepas Mahkamah Tinggi selesai mendengar keterangan 57 saksi, antaranya membabitkan pegawai kanan Ambank, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan SRC.

Sebaik sahaja menutup kesnya, pendakwaan menawarkan 66 saksinya kepada pihak pembelaan.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu yang mengambil masa selama 58 hari di peringkat kes pendakwaan disifatkan antara yang paling singkat berlangsung.

Prosiding yang mendapat perhatian seluruh dunia itu bermula pada 3 April lalu dengan mendengar keterangan saksi pertama iaitu Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaludin Abdullah.

Ia berakhir dengan keterangan Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain, selepas disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim.

Antara saksi utama yang mendapat perhatian ialah bekas Pengarah SRC, Datuk Suboh Md Yassin; bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail; dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Saksi lain yang turut menarik perhatian termasuk Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertama Kumpulan Wang (Diperbadankan) (KWAP), Datuk Azian Mohd Noh dan pegawai agensi dana persaraan itu, pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) yang menjalankan siasatan dan serbuan serta pegawai Ambank termasuk Joanna Yu yang mengendalikan akaun peribadi semasa Najib.

Joanna dan Rosli adalah dua saksi yang paling lama memberikan keterangan iaitu selama lapan hari manakala Ismee yang juga Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berada di kandang saksi selama tujuh hari.

Perbicaraan hanya ditangguhkan selama tiga kali berikutan peguam bela Harvinderjit Singh mengambil cuti sakit pada 24 Julai dan perkara sama berlaku kepada Najib apabila bercuti sakit selama tiga hari pada 14 Ogos lalu.

Kali ketiga, pada 15 Julai lalu, apabila Najib dibenarkan menghadiri sidang Dewan Rakyat bagi perbahasan dan pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan untuk menurunkan had umur mengundi di negara ini daripada 21 kepada 18 tahun, bagaimanapun prosiding hanya ditangguhkan setengah hari.

Sekiranya Najib diperintah membela diri, mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan di peringkat pembelaan selama 10 hari bermula 3 dan 4 Disember, sebelum bersambung pada 9 hingga 12 Disember dan diteruskan pada 16 hingga 19 Disember ini.

Pertuduhan ke atas Datuk Seri Najib Razak

* 4 Julai 2018 - Bagi dua tuduhan pecah amanah jenayah, Najib didakwa selaku penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta Advisor Emeritus (Penasihat Emeritus) SRC International Sdn Bhd.

Dalam kapasiti itu, beliau yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, dituduh melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM27 juta dan RM5 juta.

Beliau didakwa melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group dekat Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Disember hingga 29 Disember 2014.

Bagi kesalahan ketiga, Najib didakwa melakukan jenayah sama, membabitkan wang berjumlah RM10 juta, di tempat sama, antara 10 Februari hingga 2 Mac 2015.

Bagi semua tuduhan itu, Najib didakwa mengikut Seksyen 409, Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi tuduhan rasuah pula, Najib dengan kedudukan sama, didakwa menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila mengambil bahagian atau terbabit dalam keputusan bagi pihak Kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri Presint 1, Putrajaya antara 17 Ogos 2011 hingga 8 Februari 2012 mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Akta 694).

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, maksimum 20 tahun penjara dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

* 8 Ogos 2018 - Bagi tuduhan pertama, Najib didakwa menerima wang berjumlah RM27 juta hasil daripada aktiviti haram melalui Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) ke dalam akaun miliknya di Bank AmIslamic.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Bank AmIslamic Berhad, Bangunan AmBank Group, No 55 Jalan Raja Chulan, dekat sini pada 26 Disember 2014.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, Najib didakwa menerima wang masing-masing berjumlah RM5 juta dan RM10 juta di tempat dan cara yang sama.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, atau mana-mana jumlah yang lebih tinggi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X