Isnin, 11 November 2019 | 7:00pm
Najib menyifatkan keputusan hakim yang memerintahkan beliau membela diri adalah peluang untuk ‘membersihkan’ namanya di mahkamah. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Najib terkejut diarah bela diri

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membela diri atas semua tujuh pertuduhan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Peguam beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata bekas perdana menteri itu menjangkakan dibebaskan daripada semua tuduhan dihadapinya di peringkat pendakwaan berikutan hujahan bantahan sudah dikemukakan dalam prosiding.

“Pihak pembelaan mengharapkan pembebasan pada peringkat ini kerana yakin bahawa hujahan dikemukakan di mahkamah sama adalah sangat baik dan fleksibel.

“Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi bagi kes ini mempunyai pendapat sendiri dan perkara seperti ini sukar untuk diramalkan kerana pandangan setiap individu berbeza.

“Namun demikian, perbicaraan ini boleh dijadikan peluang untuk masyarakat mendengar kisah sebenar daripada Najib mengenai SRC,” katanya di luar mahkamah.

Muhammad Shafee berkata, pihaknya akan memanggil beberapa saksi profesional untuk memberi keterangan semasa peringkat pembelaan namun identiti mereka dirahsiakan.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang membaca ringkasan keputusan itu selama kira-kira sejam memerintahkan Najib membela diri atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC.

Mahkamah menetapkan 3, 4, 9 hingga 12 dan 16 hingga 19 Disember ini untuk Najib dibicarakan.

Sementara itu, Najib dalam kenyataan di Facebook, menyifatkan keputusan hakim yang memerintahkan beliau membela diri adalah peluang untuk ‘membersihkan’ namanya di mahkamah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, dengan perintah itu pihaknya boleh memanggil saksi pembelaan.

Sebelum ini, katanya hanya saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan di depan hakim.

"Inilah peluang untuk membersihkan nama saya tidak lama lagi di dalam mahkamah," katanya.

Berita Harian X