Jumaat, 15 November 2019 | 8:35pm
BEKAS CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy hadir pada pengurusan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. NSTP/Aswadi Alias.

Arul Kanda bantah permohonan Najib tangguh perbicaraan

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, membantah permohonan Datuk Seri Najib Razak, untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadual bermula Isnin ini.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan bekas Perdana Menteri itu dalam membuat pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Peguam Datuk N Sivananthan yang mewakili Arul Kanda memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, bahawa anak guamnya mahu perbicaraan diteruskan dan diberi peluang untuk menyangkal pertuduhan.

“Saya fikir adalah tidak adil bahawa semua orang bercakap tentang kepentingan semua orang dan dia hanya mengikut orang lain. Mahkamah harus melihat kepentingan semua tertuduh dan bukan hanya seorang tertuduh.

“Justeru, berdasarkan itu, saya membantah dan meminta mahkamah menolak permohonan ini dan perbicaraan bermula pada Isnin,” katanya dalam penghujahannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib yang turut membantah permohonan itu berhujah, Mohamed Zaini sebelum ini memutuskan bahawa perbicaraan akan bermula Isnin ini seperti dijadualkan.

Tegasnya, sekiranya mahkamah memberi keputusan yang berbeza hari ini, ia akan menimbulkan persepsi negatif terhadap badan kehakiman.

Peguam Harvinderjit Singh yang membela Najib berhujah bahawa jika perbicaraan bermula Isnin ini, mereka hanya mempunyai masa yang singkat untuk menyiapkan pembelaan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang Najib menghadapi tujuh pertuduhan menyeleweng dana syarikat itu berjumlah RM42 juta.

Pada 11 November lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan Najib, 66, untuk membela diri terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menggunakan kedudukannya berhubung dana selepas mendapati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mohamed Zaini berkata, beliau terkejut apabila Najib membuat permohonan itu kerana peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum ini mengambil sikap berkecuali.

“Saya akan menyampaikan keputusan pada Isnin ini, bagaimanapun tolong bersiap sedia jika saya menolak permohonan ini. Saya akan cuba seboleh-bolehnya untuk berlaku adil, “katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan usul pada Rabu, memohon perbicaraan, yang ditetapkan pada hari Isnin hingga 29 November di hadapan Mohamed Zaini ditangguh kepada 13 Januari 2020.

Menurut Najib, jika perbicaraan (pinda laporan audit) diteruskan seperti dijadualkan, dia akan mengalami prasangka kerana dia dan peguamnya memerlukan masa yang munasabah dan mencukupi untuk menyiapkan pembelaan dalam kes SRC yang pertuduhan yang dihadapinya adalah serius.

Beliau juga berkata, pada masa yang sama, barisan peguambelanya, juga terbabit dalam penyediaan kes 1MDB yang bermula pada 28 Ogos dan masih berlangsung sehingga kini. Pembelaannya dalam perbicaraan kes SRC dijangka bermula pada 3 Disember.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Najib dituduh, atas kapasitinya sebagai seorang pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 43, didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan itu bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) dan 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Berita Harian X