Sabtu, 16 November 2019 | 7:33pm

7 pelajar lelaki Tingkatan 5 ditahan kes rogol

TAWAU: Polis menahan tujuh pelajar lelaki Tingkatan 5 selepas dipercayai terbabit dalam kes rogol seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa yang juga pelajar Tingkatan 2 ditemui seorang guru dalam keadaan separuh bogel di sebuah bilik di sekolah berkenaan.

Mangsa kemudiannya memaklumkan dia dirogol oleh dua daripada tujuh suspek, manakala empat lagi rakan mereka bertindak memasukkan kemaluan ke dalam mulutnya.

Difahamkan, seorang lagi suspek hanya melihat perbuatan keji enam rakannya itu.

Berikutan itu, guru berkenaan memaklumkan perkara itu kepada ibu mangsa sebelum satu laporan polis dibuat pada jam 3.30 petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas mengesahkan kesemua suspek berusia 17 tahun itu ditahan pada hari yang sama.

“Polis sudah mendapatkan perintah reman terhadap kesemua suspek selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Berita Harian X