Sabtu, 16 November 2019 | 8:35pm
Jenazah Asrah dibawa pulang ke rumahnya di Jalan Tanah Lesen, Sungai Air Tawar. - NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin
Motosikal milik Asrah ditemui di kebun kelapa sawit di Jalan Kubur Tebuk Mufrad, Sungai Air Tawar, hari ini. - Ihsan PDRM

Warga emas hilang ditemui mati

SABAK BERNAM: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar minum dari rumahnya di Jalan Tanah Lesen, Sungai Air Tawar, pada 5 November lalu, ditemui meninggal dunia, di sebuah kebun kelapa sawit, di sini, hari ini.

Mayat Asrah Salleh, 85, ditemui pemilik kebun yang berusia 59 tahun di Jalan Kubur Tebuk Mufrad, Sungai Air Tawar, jam 8.30 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, ketika pengadu tiba di kebunnya, dia terhidu bau busuk sekitar kawasan itu.

Menurutnya, ketika mencari punca bau busuk, pengadu ternampak mangsa yang terbaring di bawah pokok kelapa sawit sebelum bergegas pulang memberitahu rakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa adalah warga emas yang dilaporkan sebagai orang hilang.

“Identiti mangsa dikenal pasti oleh ahli keluarga berdasarkan motosikal Honda Wave yang berada kira-kira tiga meter dari tempat mayat dijumpai,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia beberapa hari berdasarkan keadaan fizikalnya mula mereput selain pemeriksaan luaran mendapati tiada kesan cedera.

“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, anak lelaki mangsa, Zulkifli Asrah, 54, berkata, dia menerima berita mengenai penemuan mayat bapanya itu daripadanya pihak polis, kira-kira jam 11 pagi.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dari awal kehilangan ayah hingga jenazahnya dijumpai hari ini.

“Kami sekeluarga reda akan ketentuan Ilahi dan berharap roh ayah ditempatkan bersama orang yang beriman,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HTAJ.

Jenazah Asrah dimandikan dan dikafankan di HTAJ sebelum dibawa ke rumahnya di Jalan Tanah Lesen, Sungai Air Tawar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Air Tawar.

Khamis lalu, BH Online melaporkan keluarga Asrah meminta orang ramai mengesannya selepas didapati tidak pulang ke rumah selepas keluar minum pada 5 November lalu.

Berita Harian X