Sabtu, 16 November 2019 | 10:54pm

7 pelajar suspek kes rogol masih boleh duduki SPM

KOTA KINABALU: Tujuh pelajar tingkatan lima yang ditahan polis berhubung kes rogol membabitkan seorang pelajar perempuan tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di Tawau, masih boleh menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengarah Pendidikan Sabah, Dr Mistirine Radin, berkata walaupun kesal dengan perbuatan kumpulan pelajar terbabit, jabatan itu membenarkan mereka menduduki peperiksaan berkenaan.

“Kejadian ini amat menyedihkan kerana berlaku dalam kawasan sekolah. Kami akan bekerjasama dengan polis dalam menangani kes ini.

“Pegawai Jabatan Pendidikan Sabah juga akan berhubung dengan balai polis, di mana pelajar terbabit ditahan (reman). Mereka masih boleh menduduki peperiksaan (SPM) walaupun dalam tahanan reman,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam ini.

Katanya, pegawai peperiksaan sudah diarahkan ke Balai Polis Tawau pagi esok bagi membincangkan segala persediaan berkaitan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam, mangsa yang juga pelajar tingkatan dua sekolah terbabit ditemui seorang guru dalam keadaan separuh bogel di sebuah bilik di sekolah berkenaan.

Mangsa kemudiannya memaklumkan dia dirogol oleh dua daripada tujuh suspek terbabit manakala empat lagi bertindak memasukkan kemaluan di dalam mulutnya.

Seorang lagi suspek dikatakan hanya melihat perbuatan keji rakan-rakannya itu.

Susulan itu, guru berkenaan memaklumkan perkara itu kepada ibu mangsa sebelum satu laporan polis dibuat pada jam 3.30 petang semalam.

Mistirine ketika mengulas lanjut mengingatkan pengawal keselamatan sekolah melaksanakan rondaan dalam kawasan sekolah seperti dalam kontrak untuk mengelakkan kejadian seperti itu berulang.

“Pihak sekolah juga boleh meningkatkan pencegahan dengan mengunci bilik-bilik yang berisiko disalahgunakan oleh pelajar,” katanya.

Berita Harian X