Ahad, 17 November 2019 | 8:53am
SEORANG lelaki maut apabila kereta dipandunya terbabas lalu merempuh tiang lampu di Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala ke arah Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Lelaki maut kereta terbabas, rempuh tiang lampu

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terbabas lalu merempuh tiang lampu di Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala ke arah Jalan Tun Razak, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata dalam kemalangan pada jam 4.25 pagi itu, Pang Jian Fung, 24, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

“Kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Persona dipandu mangsa terbabas dan melanggar tiang lampu di bahagian kiri jalan.

“Mangsa tiada membawa penumpang. Hasil pemeriksaan turut mendapati tiada bau alkohol pada badan mangsa.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan pula memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung nahas berkenaan pada jam 3.32 pagi.

Susulan itu, katanya, seramai 10 anggota dengan menaiki sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan itu membabitkan sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipercayai hilang kawalan sehingga melanggar tiang lampu.

“Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki dewasa tersepit di bahagian duduk pemandu.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi kejadian,” katanya.

Kes kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala ke arah Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Sementara itu, dalam kes berasingan, dua individu parah apabila kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan berdekatan lampu isyarat di Jalan Loke Yew, di sini, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.12 pagi sebelum 10 anggota dan dua jentera dari BBP Hang Tuah dikerahkan ke lokasi nahas.

“Setiba di lokasi, kita mendapati sebuah Perodua Kembara terbabas dan merempuh tembok pembahagi jalan.

ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

“Mangsa membabitkan seorang lelaki dan perempuan dewasa yang tersepit di bahagian pemandu serta penumpang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 6.01 pagi sebelum dibawa sebuah ambulans Kementerian Kesihatan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan lanjut.

ANGGOTA bomba membantu mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Berita Harian X