Ahad, 17 November 2019 | 10:34am
FOTO hiasan.

Siasatan kes rogol: 7 pelajar dibebaskan dengan jaminan polis esok

TAWAU: Tujuh pelajar lelaki yang direman bagi membantu siasatan kes rogol, akan dibebaskan dengan jaminan polis, esok, bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata pihaknya sudah menyelesaikan siasatan kes itu dan tidak berhasrat melanjutkan tempoh tahanan reman tujuh pelajar berusia 17 tahun terbabit yang akan tamat esok.

“Polis juga mengambil kira kesemua mereka ini akan terbabit peperiksaan SPM tahun ini. Kita akan membebaskan mereka dengan jaminan polis dulu.

“Mangsa juga sudah menjalani rawatan pemeriksaan di hospital,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Fun Ride dan Fun Run Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tawau, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiapkan kertas siasatan dan jika ada bukti kukuh, suspek akan dituduh di mahkamah pada satu tarikh ditetapkan selepas peperiksaan SPM tamat.

Media sebelum ini melaporkan tujuh pelajar lelaki Tingkatan Lima direman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes rogol seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah, di sini.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah bilik sekolah berkenaan.

Sementara itu, Peter berkata, program hari ini adalah platform sesuai untuk mengeratkan hubungan antara polis dengan komuniti setempat dalam usaha mencegah jenayah.

Justeru, beliau berkata, masyarakat harus bertindak sebagai mata dan telinga kepada polis bagi mencegah jenayah di kawasan penempatan masing-masing.

“Selain menghubungi balai polis terdekat, orang awam juga boleh menggunakan aplikasi ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP) untuk menyalurkan maklumat jenayah menerusi kaedah digital,” katanya.

Seramai 600 peserta mengambil bahagian dalam acara Fun Ride dan Fun Run PDRM Tawau. – BERNAMA

Berita Harian X