Ahad, 17 November 2019 | 3:35pm
Keadaan kenderaan dipandu Nurul Liana (gambar kecil) yang maut dalam kemalangan di lebuh raya KESAS. - Ihsan pembaca

Maut selepas raikan majlis hari lahir

KLANG: Seorang pegawai bank yang baharu meraikan sambutan hari lahirnya maut selepas kereta dipandu terbabit kemalangan berhampiran susur keluar Bandar Puteri, Lebuhraya Shah Alam (KESAS), awal pagi semalam.

Mangsa, Nurul Liana Atira Zolkepli, 28, disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Adik mangsa, Mohd Syafiq Farhan, 26, berkata ketika kejadian pada jam 2 pagi, Nurul Liana dalam perjalanan pulang ke rumah di Telok Panglima Garang selepas menjalani kursus di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat lalu.

Katanya, selesai berkursus, Nurul Liana yang bertugas di CIMB Bank cawangan Meru, diraikan oleh rakan sekerja sempena ulang tahun kelahirannya pada Selasa lalu.

“Kami diberitahu, ketika dalam perjalanan itu, kereta Honda Jazz dipandu kakak dilanggar oleh kereta lain hingga kakak tersepit dan parah di bahagian kepala.

“Kami juga difahamkan, pemandu kereta berkenaan memandu dalam keadaan mabuk dan melarikan diri sejurus kejadian,” katanya, di sini, hari ini.

Mohd Syafik Farhan berkata, beberapa hari sebelum kejadian, Nurul Liana meminta ibu mereka menyediakan lauk ikan bilis goreng walaupun makanan itu bukan kegemarannya.

“Itu bukan lauk yang dia suka tetapi hari itu dia minta. Itu yang menghairankan kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata pihaknya mendapati kemalangan berkenaan membabitkan dua kereta iaitu kereta dipandu Nurul Liana dan kereta Nissan Almera yang dipandu seorang perunding kecantikan.

Katanya, pihaknya berjaya mengesan pemandu berusia 26 tahun itu selepas 24 jam kejadian itu dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Columbia akibat patah bahu kiri.

“Selepas kejadian itu, mangsa kedua pergi mendapatkan rawatan. Berkenaan dia didakwa mabuk, itu tidak dapat dipastikan kerana polis mengesannya selepas lebih 24 jam,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X