Ahad, 17 November 2019 | 4:28pm
Abdullah (tengah) memeriksa selaras senapang patah, sepucuk pistol buatan sendiri dan peluru pada sidang media di IPK Kelantan. - NSTP/Zaman Huri Isa

Dua sahabat ditahan miliki senapang buatan sendiri dan dadah

KOTA BHARU: Dua sahabat ditahan kerana memiliki selaras senapang patah dan sepucuk pistol buatan sendiri, dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah di Kampung Padang Mokkan, di sini, Khamis lalu.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota jam 4.30 petang di sebuah rumah itu turut merampas lima biji peluru dan 50 biji pil kuda.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah, berkata kedua-dua suspek berusia 27 dan 49 tahun.

Katanya, suspek mendakwa senapang terbabit diperoleh daripada seorang kawan di Selising, Pasir Puteh dan polis percaya senjata tiruan itu digunakan untuk kegiatan jenayah.

“Pemeriksaan mendapati, seorang suspek berusia 49 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kedua-dua suspek positif Methamphetamine.

“Suspek turut memaklumkan senjata berkenaan diperoleh sejak awal tahun ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek turut terbabit dalam kegiatan samun di negeri ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata, pihaknya menahan tiga pengedar dadah lelaki dan merampas dadah jenis syabu bernilai hampir RM75,000 menerusi tiga serbuan berasingan, Rabu dan Khamis lalu.

Abdullah (tengah) menunjukkan sebahagian dadah pada sidang media di IPK Kelantan. - NSTP/Zaman Huri Isa

Katanya, serbuan dilakukan di Rantau Panjang, Jalan Pasir Pekan dan Kampung Kias dekat Pasir Mas hasil risikan dan maklumat awam yang membawa kepada penahanan suspek berusia 31 hingga 33 tahun.

“Hasil serbuan kita merampas 1.7 kilogram dadah dipercayai jenis syabu bernilai hampir RM75,000.

“Kesemua suspek dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak enam bulan lalu dan bekalan dadah terbabit untuk pasaran di daerah masing-masing,” katanya.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X