Isnin, 18 November 2019 | 3:40pm
Najib menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mengarahkan maklumat material dipinda daripada Laporan Audit 1MDB. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Najib guna kedudukan pinda Laporan 1MDB

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mengarahkan maklumat material dipinda daripada Laporan Audit 1Malaysia Development (1MDB).

Najib mengetahui dan sudah memikirkan hal itu semasak-masaknya kerana jika perkara sebenar terbongkar, beliau akan berdepan tindakan sivil dan jenayah.

Jadi, pendakwaan akan menunjukkan bahawa Najib berbuat demikian bagi mengelak liabiliti jenayah dan sivil dikenakan terhadapnya selaku Pengarah Bayangan 1MDB, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, yang membolehkan tindakan dikenakan terhadapnya mengikut Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, berkata pendakwaan melalui bukti langsung dan bukti keadaan, akan membuktikan tertuduh mengeluarkan (meminda) maklumat material itu daripada rekod rasmi untuk menyembunyikan perkara sebenar.

“Ini adalah fakta objektif yang mana pendakwaan akan membuktikan melalui tindakan dan kegagalan tertuduh bertindak dalam keadaan kes ini.

“Dalam membuktikan kes ini, pendakwaan akan bergantung kepada keterangan saksi yang mana ia perlu diambil melalui pendekatan berhati-hati...Jadi, kami akan menunjukkan bukti kes ini adalah berwibawa dan saling berkait.

“Selanjutnya, melalui keseluruhan bukti itu, kami akan membawa kepada satu rumusan tidak dapat disangkal lagi iaitu bukan saja jenayah sudah dilakukan, malah ia dilakukan oleh tertuduh,” katanya ketika membacakan pernyataan pembukaan.

Sri Ram berkata, pihaknya bertanggungjawab memaklumkan kepada mahkamah akan ada keterangan saksi yang mungkin bersikap berat sebelah dan memihak kepada tertuduh.

Beliau berkata, bukti itu perlu bagi pendakwaan merungkai kes berkenaan dan akan memaklumkan kepada mahkamah pada peringkat yang sesuai bagaimana keterangan saksi terbabit boleh dinilai.

Berita Harian X