Isnin, 18 November 2019 | 5:07pm

Dana Yayasan Akalbudi diguna untuk perbelanjaan peribadi

KUALA LUMPUR: Dana RM31 juta milik Yayasan Akalbudi, yang ditubuhkan bagi membantu golongan miskin dan memerlukan, tidak disalurkan kepada pihak terbabit, sebaliknya diguna untuk perbelanjaan peribadi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menggunakan wang daripada dana berkenan, antara lain bagi pembayaran kad kredit selain pembelian insuran dan cukai jalan untuk kenderaan milik persendirian.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, berkata demikian dalam pernyataan pembukaan kes Ahmad Zahid, yang didakwa atas 47 tuduhan membabitkan 12 dakwaan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 kes pengubahan wang haram berkaitan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Beliau berkata, sepanjang menjawat jawatan sebagai Menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) antara 2016 dan 2018, tertuduh didakwa menerima RM17 juta sebagai upah meluluskan tiga kontrak besar kepada beberapa syarikat.

Menurutnya, pihak pendakwaan akan buktikan bahawa tertuduh memainkan peranan penting dalam meluluskan ketiga-tiga kontrak berkenaan, selain pada masa sama turut menggunakan kedudukannya sebagai menteri untuk menerima RM4.25 juta daripada individu lain.

“Pembayaran itu diterima secara rasuah sebagai upah dalam membantu mendapatkan projek MyEg yang diletakkan di bawah KDN.

“Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, pendakwaan akan membuktikan tertuduh turut menerima cek berjumlah RM65 juta daripada beberapa individu yang dikenali dan tidak dikenali,” katanya.

Raja Rozela, dalam pernyataan pembukaannya, berkata pihak pendakwaan dalam pertuduhan pengubahan wang haram akan membuktikan bahawa cek itu diserahkan kepada peguam Muralidharan daripada Tetuan Lewis & Co, yang kemudian mendepositkan cek itu ke dalam akaun anak guamnya.

Katanya, sebahagian besar wang itu digunakan untuk membeli dua unit rumah banglo berjumlah RM5.9 juta dan membuat bayaran deposit tetap di bawah nama firma guaman berkenaan.

“Setiap transaksi yang dilakukan adalah dalam pengetahuan tertuduh selain mengetahui bahawa ia adalah hasil kegiatan haram.

“Sehubungan itu, pihak pendakwaan akan memanggil 35 saksi untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan, masing-masing bagi pertuduhan pecah amanah dan rasuah,” katanya.

Terdahulu, mahkamah membacakan semula pertuduhan pindaan terhadap Ahmad Zahid sebaik prosiding bermula kira-kira jam 11.45 pagi.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pindaan iaitu pertama, kedua dan ke 27.

Bagi pertuduhan pindaan pertama dan kedua, Ahmad Zahid iaitu pemegang amanah Yayasan Akalbudi, diamanahkan dengan harta iaitu wang sejumlah RM565,183.71 milik yayasan itu.

Tertuduh didakwa melakukan pecah amanah ke atas harta itu kerana dengan curangnya membuat pembayaran kad kredit milik persendirian iaitu Amislamic Bank Visa Infinite, Amislamic Bank World Mc, Amislamic Bank Visa Infinite dan Amislamic Bank World Mc, Maybank Mastercard Gold serta Maybank Visa Platinum.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Jalan Bunus, No 133 Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India antara 13 Januari hingga 23 Disember 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun, dengan sebatan dan denda jika bersabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pindaan ke-27, iaitu pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung berkaitan pendapatan daripada kegiatan haram pada 2016.

Dia didakwa mengarahkan Omar Ali Abdullah untuk mengubah wang tunai RM6,885,300.20 kepada 30 cek, kemudian diserahkan kepada Peguam Bela dan Peguam Cara Tetuan Lewis & Co, untuk tujuan simpanan tetap di Maybank.

Ahmad Zahid (tengah) hadiri perbicaraan kes pecah amanah membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Jenayah 1 Kuala Lumpur. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Berita Harian X