Isnin, 18 November 2019 | 8:02pm
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir pada kes pindaan laporan Audit 1MDB yang dihadapi bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Najib guna kedudukan pinda Laporan 1MDB

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mengarahkan maklumat material dipinda daripada Laporan Audit 1Malaysia Development (1MDB).

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, berkata Najib mengetahui dan sudah memikirkan hal itu semasak-masaknya kerana jika perkara sebenar terbongkar, dia akan berdepan tindakan sivil dan jenayah.

Jadi, tambah beliau, pendakwaan akan menunjukkan bahawa Najib berbuat demikian bagi mengelak liabiliti jenayah dan sivil dikenakan terhadapnya selaku Pengarah Bayangan 1MDB, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, yang membolehkan tindakan dikenakan terhadapnya mengikut Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sri Ram berkata pendakwaan melalui bukti langsung dan bukti keadaan, akan membuktikan tertuduh mengeluarkan (meminda) maklumat material itu daripada rekod rasmi untuk menyembunyikan perkara sebenar.

“Ini adalah fakta objektif yang mana pendakwaan akan membuktikan melalui tindakan dan kegagalan tertuduh bertindak dalam keadaan kes ini.

“Dalam membuktikan kes ini, pendakwaan akan bergantung kepada keterangan saksi, yang mana ia perlu diambil melalui pendekatan berhati-hati...Jadi, kami akan menunjukkan bukti kes ini adalah berwibawa dan saling berkait.

“Selanjutnya, melalui keseluruhan bukti itu, kami akan membawa kepada satu rumusan yang tidak dapat disangkal lagi iaitu bukan saja jenayah sudah dilakukan, malah ia dilakukan oleh tertuduh,” katanya ketika membacakan pernyataan pembukaan.

Sri Ram berkata, pihaknya bertanggungjawab memaklumkan kepada mahkamah akan ada keterangan saksi yang mungkin bersikap berat sebelah dan memihak kepada tertuduh.

Beliau menerangkan, bukti itu perlu bagi pendakwaan merungkai kes berkenaan dan akan memaklumkan kepada mahkamah pada peringkat yang sesuai bagaimana keterangan saksi terbabit boleh dinilai.

Sri Ram berkata, Najib mula bertindak untuk menutup jejak perbuatannya selepas skandal 1MDB mula terbongkar pada awal Julai 2015 dan mendapat publisiti meluas.

Antara langkah diambil Najib bagi menutup jejak kesalahan dan peranan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low berkaitan urusan 1MDB menyebabkan tuduhan meminda Laporan Audit dikenakan terhadapnya.

Wang 1MDB pula dipindahkan ke dalam akaun Good Star Ltd yang dikawal Jho Low, iaitu ‘bayangan imej’ dan ‘alter ego’ tertuduh (Najib), yang juga individu dilindunginya.

Menurut Sri Ram, sebahagian daripada wang itu turut disalurkan ke dalam akaun anak tirinya, Riza Shahriz Abdul Aziz, dan tertuduh sendiri menerima wang dalam jumlah yang banyak milik 1MDB.

“Walaupun beliau mengetahui wang itu milik 1MDB, tertuduh (Najib) menipu seluruh dunia dengan menyatakan ia adalah derma daripada Arab Saudi,” katanya.

Pada masa sama, Sri Ram berkata Ketua Audit Negara mengarahkan Laporan Audit 1MDB dikemukakan termasuk beberapa perenggan yang membangkitkan kebimbangan terhadap Najib walaupun ia adalah benar.

“Beliau menjadi terkejut dan keliru...kemudian mengambil langkah supaya perenggan terbabit dipinda atau dikeluarkan.

“Apa yang berlaku adalah tidak normal...walaupun laporan sudah sedia untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) , satu mesyuarat diadakan pada 24 Februari 2016 atas arahan tertuduh.

“Dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, apa yang terjadi ialah perenggan berkaitan dipinda atau dikeluarkan,” katanya.

Sri Ram berkata, tindakan Arul Kanda sebelum dan selepas mesyuarat yang dipersoalkan itu sudah dianggap perbuatan bersubahat meminda laporan terbabit.

Menurutnya, pendakwaan bertanggungjawab memaklumkan kepada mahkamah bahawa pada peringkat yang sesuai, ia akan memohon secara bertulis untuk memanggil Arul Kanda memberi keterangan bagi pihak pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta SPRM.

Berita Harian X