Selasa, 19 November 2019 | 5:37pm
Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Dr. Mistirine Radin (kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Belajar Kelas Dewasa dan Pribumi (KEDAP) 2019 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah. - Foto Khairull Azry Bidin

Pelajar mangsa rogol diberi kaunseling

KOTA KINABALU: Pelajar perempuan yang menjadi mangsa kes rogol membabitkan sekumpulan tujuh pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Tawau diberikan kaunseling selepas menjalani pemeriksaan di hospital.

Pengarah Pendidikan Sabah, Dr Mistirine Radin menjelaskan pelajar tingkatan dua itu sudah menjalani pemeriksaan bagi membantu siasatan kes itu dan ia disusuli sesi kaunseling sebagai sebahagian rawatan pemulihan pelajar terbabit.

“Saya dimaklumkan pelajar itu sudah menjalani pemeriksaan dan selepas kita akan hantar untuk menjalani proses kaunseling pula,” katanya selepas menyampaikan Sijil Tamat Belajar Kelas Dewasa dan Peribumi (KEDAP) Sabah 2019, di sini hari ini.

Ditanya sama ada pelajar perempuan itu akan dipindahkan ke sekolah lain atau tidak, Mistirine berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan dengan pengurusan sekolah pelajar terbabit kemudian.

Sementara itu, katanya, tujuh pelajar tingkatan lima yang juga suspek kes berkenaan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semalam.

Pelajar terbabit dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan polis pada Ahad lalu bagi membolehkan mereka mengambil peperiksaan itu.

Mistirine berkata, pihak pengurusan sekolah berkenaan juga sudah diberikan peringatan supaya mengambil langkah meningkatkan keselamatan pelajar ketika berada di kawasan sekolah.

“Kejadian itu (kes rogol) mengejutkan kita dan ia sangat menyedihkan sebab berlaku dalam kawasan sekolah. Sepatutnya pelajar selamat di dalam kawasan sekolah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Jumaat lalu, mangsa yang juga pelajar Tingkatan 2 di sekolah sama, ditemui seorang guru dalam keadaan separuh bogel di sebuah bilik di sekolah berkenaan.

Mangsa kemudian memaklumkan dia dirogol oleh dua daripada tujuh suspek, manakala empat lagi bertindak melakukan seks oral, manakala seorang lagi suspek hanya melihat perbuatan keji enam rakannya itu.

Sementara itu, Mistirine berkata, seorang murid perempuan Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Lipasu, Ranau yang parah digigit anjing pada Jumaat lalu kini dalam keadaan stabil dan masih dirawat di hospital.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa dikatakan mengikuti beberapa murid lain untuk pulang ke rumah dari sekolah, sebelum dikejar seekor anjing, kira-kira 300 meter di luar kawasan sekolah.

Berita Harian X