Rabu, 20 November 2019 | 12:36pm
Ali hadir pada sambung bicara kes laporan akhir pengauditan 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias

Kes Laporan Pengauditan 1MDB: Mahkamah dengar rakaman suara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mendengar rakaman suara berdurasi dua jam 45 minit yang didakwa berkaitan dengan mesyuarat berhubung pindaan Laporan Pengauditan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Menerusi rakaman, beberapa suara yang dikenal pasti itu hadir dalam Mesyuarat Pelarasan Laporan Pengauditan 1MDB, pada 24 Februari 2016.

Saksi pendakwaan keempat, bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa, 64, di mana suaranya ada dalam rakaman itu turut mengesahkan semua pemilik suara yang lain.

Rakaman yang dimainkan kira-kira jam 10.16 pagi itu mengandungi beberapa suara antaranya, Ketua Audit Negara ketika itu, Tan Sri AMbrin Buang bersama-sama Saadatul Nafisah; wakil dari Pejabat Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, dan wakil dari Perbendaharaan, Datuk Seri Mohamad Isa Hussain.

Ali juga mengesahkan suara bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy turut terkandung dalam rakaman yang selesai diperdengarkan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini pada jam 1.26 petang.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram mengemukakan pemacu pena (pendrive) yang mengandungi rakaman suara berhubung mesyuarat yang dipengerusikan Ali.

Sri Ram: Kamu pernah lihat pemacu pena yang mengandungi rakaman suara ketika mesyuarat Februari 2016?

Ali: Tidak

Dalam keterangan semalam, Ali menerusi penyataan saksi memberitahu bahawa mesyuarat itu diadakan selepas diarahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, Najib mengarahkan supaya mengadakan mesyuarat penyelarasan di antara Jabatan Audit dan wakil 1MDB Arul Kanda mengenai perkara yang beliau (Najib) tidak berpuas hati dalam Laporan Audit oleh Jabatan Audit Negara.

Sementara itu, turut kedengaran sedikit pertengkaran berlaku apabila suara seorang wanita yang dipercayai Saadatul Nafisah seolah-olah berdebat dengan seseorang (suara lelaki).

Namun, perkara yang menjadi topik pertengkaran tidak dapat diketahui kerana rakaman yang diperdengarkan di dalam mahkamah tidak jelas.

Transkrip rakaman yang disediakan pihak pendakwaan bagi membantu prosiding turut diserahkan kepada Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan pihak pembelaan.

Berita Harian X