Rabu, 20 November 2019 | 6:05pm
Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa hadir pada Sambung bicara kes laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) (Kes PAC) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

Draf Laporan Pengauditan 1MDB diserah kepada Najib sebelum dipinda

KUALA LUMPUR: Draf Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diserahkan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan lima individu lain, dua hari sebelum dipinda dalam Mesyuarat Penyelarasan Laporan Pengauditan 1MDB.

Penyerahan draf laporan itu dibuat pada 22 Februari 2016 manakala mesyuarat diadakan pada 24 Februari 2016 dengan pindaan pada Laporan Pengauditan 1MDB dilakukan selepas menerima arahan Najib.

Selain Najib, lima lagi individu yang menerima draf laporan adalah bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh; wakil Pejabat Peguam Negara, Datuk Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Saksi pendakwaan kelima, Pengarah Audit ICT (Sektor Tadbir Urus), Jabatan Audit Negara (JAN), Nor Salwani Muhamad, 52, dalam keterangannya berkata draf Laporan Pengauditan 1MDB itu dicetak untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Beliau berkata demikian dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib pada perbicaraan kes pindaan Laporan Pengauditan 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

“Bagi percetakan pertama, sebanyak 60 laporan audit dicetak. Pada 22 Februari 2016 sebanyak 10 naskah diambil daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).

“Saya serahkan kepada Tan Sri Ambrin. Baki 50 draf laporan audit masih berada dalam kotak dan dilupuskan selepas mendapat arahan daripada Tan Sri Ambrin supaya mematuhi prosedur pelupusan oleh pihak CGSO.

“Laporan Pengauditan 1MDB yang dicetak pula diserahkan kepada Tan Sri Ambrin. Saya difahamkan draf Laporan Pengauditan 1MDB disampaikan oleh beliau sendiri,” katanya.

Terdahulu, dalam penyata saksinya, Nor Salwani berkata, pada 9 Mac 2015, Ketua Audit Negara (KAN) mempertimbangkan dan membuat keputusan untuk JAN menjalankan pengauditan ke atas syarikat kumpulan 1MDB.

“Saya dilantik sebagai Ketua Koordinator pengauditan khas 1MDB oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang untuk menjalankan pengauditan 1MDB.

“Keputusan Tan Sri Ambrin susulan arahan Kabinet pada 5 Mac 2015 supaya JAN mengesahkan akaun 1MDB dan semua laporan berkaitan dengan syarikat itu diserahkan kepada PAC,” katanya.

Dalam keterangan Ali semalam, Najib meluahkan rasa tidak puas hati dengan isi kandungan dalam laporan audit terbabit.

Ali dalam keterangan di Mahkamah Tinggi berkata, perkara itu dinyatakan Najib dalam satu pertemuan di Pejabat Perdana Menteri pada 22 Februari 2016, yang turut dihadiri Ambrin.

Ali dan Ambrin Buang dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri bagi membincangkan mengenai Laporan Pengauditan 1MDB bagi PAC.

Menurut saksi pendakwaan keempat itu, beliau pada ketika itu tidak tahu mengenai masalah Penyata Kewangan Tahunan 1MDB yang dilaporkan dalam Laporan Pengauditan itu.

Sementara itu, Ali ketika disoal Datuk Seri Gopal Sri Ram menjelaskan bahawa beliau sendiri yang mencadangkan supaya mengoyakkan (shred) salinan lain laporan audit 1MDB itu bagi memastikan ia hanya ada satu versi saja.

Sri Ram: Dalam rakaman (audio mesyuarat penyelarasan) ada perkataan ‘shred’ (koyak) disebut. Apakah maksud cadangan itu?

Ali: Ia (shred) bermaksud tidak boleh ada dua atau tiga versi. Sepatutnya hanya ada satu versi dipersetujui... yang harus digunakan.

Peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudian memohon supaya mahkamah menangguhkan pemeriksaan balas ke atas Ali.

Ini berikutan pihak pendakwaan dan pembelaan perlu memuktamadkan transkrip rakaman suara mengenai apa yang berlaku dalam mesyuarat pada 24 Februari 2016 itu.

“Pembelaan perlu meneliti dan muktamad transkrip sebelum sesi soal balas bagi membolehkan soalan disiapkan,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

Berita Harian X