Rabu, 20 November 2019 | 6:56pm
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada sambung bicara kes yang dihadapkan atas 12 pertuduhan pecah amanah (CBT) dana milik Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

Ahmad Zahid arah tebus simpanan Yayasan Akalbudi - Narimah.

KUALA LUMPUR: Pengasas Yayasan Akalbudi, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengarahkan seorang pegawai operasi bank membuat pengeluaran wang berjumlah RM17,953,185.21 dan dibayar kepada Messrs Lewis & Co, yang juga pemegang amanah yayasan itu.

Narimah Miswadi, 47, berkata demikian di Mahkamah Tinggi hari ini, pada hari ketiga perbicaraan kes Ahmad Zahid, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, membabitkan 47 tuduhan termasuk 12 dakwaan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 kes pengubahan wang haram berkaitan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Saksi keenam pendakwaan itu berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ahmad Zahid dalam satu pertemuan di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Putrajaya, pada 16 Jun 2016.

Katanya, surat yayasan itu diserahkan kepada juruwang di Affin Bank, Royasmin Mohd Roddy, untuk sediakan Borang Permohonan Kiriman Wang.

“Pada 23 Jun 2016, saya serahkan surat Yayasan Akalbudi itu kepada Royasmin dan beliau kemudian menyerahkan kembali Borang Kiriman Wang Affin Bank bertarikh 23 Jun 2016 untuk semakan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membacakan penyataan saksi dalam prosiding itu di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Saksi itu berkata, Ahmad Zahid memberitahunya tujuan pengeluaran wang itu adalah untuk membina bangunan Yayasan Akalbudi di Bagan Datuk, Perak.

“Ahmad Zahid menandatangani satu surat menunjukkan tujuan untuk membuat pengeluaran terhadap semua akaun simpanan tetap.

“Surat ini dialamatkan kepada Pengurus Cawangan Perkhidmatan Affin Bank, Cawangan Jalan Bunus, di sini, Maasayu Mohd Ariffin.

“Saya juga memohon kelulusan ibu pejabat Yayasan Akalbudi untuk menggunakan cek perbankan bagi membuat pembayaran kepada Messrs Lewis & Co,” katanya.

Terdahulu, ketika disoal peguam bela, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, pada sesi soal balas, Narimah memberitahu beliau tidak pasti sama ada pengeluaran wang itu untuk tujuan pembelian atau pembinaan bangunan Yayasan Akalbudi di Bagan Datuk.

Terdahulu, suasana mahkamah bertukar ceria apabila Ahmad Zaidi bertanya mengapa saksi itu kelihatan gembira dan sering tersenyum apabila melihat Ahmad Zahid yang duduk di dalam kandang tertuduh.

AHMAD ZAIDI : Berapa kali kamu berjumpa dia (Ahmad Zahid)?

NARIMAH : Sekali.

AHMAD ZAIDI : Ketika itu dia (Ahmad Zahid) menjawat jawatan apa?

NARIMAH : Timbalan Perdana Menteri.

AHMAD ZAIDI : Gugup atau tidak kali pertama bertemu dengannya?

NARIMAH : Ya... sebab pertama kali bertemu.

AHMAD ZAIDI : Kenapa kamu gembira berjumpa dengan Ahmad Zahid?

NARIMAH : Sebab kali pertama berjumpa dan beliau seorang yang ceria dan peramah.

Perbicaraan bersambung esok.

Berita Harian X