Khamis, 21 November 2019 | 12:06am
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang - Undang), Datuk Liew Vui Keong. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Tunjukkan ihsan pada rakyat Malaysia berdepan hukuman gantung - Vui Keong

KUALA LUMPUR: Singapura digesa supaya menunjukkan belas kasihan terhadap warga Malaysia yang dijadualkan menjalani hukuman mati di negara itu pada Jumaat ini, selepas disabitkan atas kesalahan mengedar dadah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata individu berkenaan disabitkan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada Mac 2017, atas tuduhan mengedar kira-kira 16 gram heroin.

Petisyen pengampunannya kemudian ditolak pada awal Julai lalu.

Beliau berkata, Malaysia telah mengisytiharkan moratorium terhadap hukuman mati di negara ini bagi semua kesalahan jenayah pengedaran dadah sementara kajian komprehensif dijalankan, selaras dengan piawaian antarabangsa yang telah ditetapkan.

“Oleh itu amat menyedihkan untuk melihat warga senegara menerima hukuman berkenaan, lebih-lebih lagi memandangkan fakta kes itu dan jarak yang dekat antara dua negara kita,” katanya.

Bagi mengekang aktiviti pengedaran dadah, Vui Keong berkata, ‘kingpin’ dadah serta pengedar sebenar yang berselindung dalam urus niaga pengedaran dadah ini sepatutnya dibawa ke muka pengadilan.

“Walaupun keldai dadah melakukan satu kesalahan di sisi undang-undang, ia merupakan satu kesalahan yang wajar dihukum dengan tidak lebih daripada hukuman penjara,” katanya dan menambah bahawa ia adalah ketidakadilan dan tidak setimpal bagi keldai dadah menanggung nasib hukuman mati. – BERNAMA

Berita Harian X