Khamis, 21 November 2019 | 2:59pm

Saksi akui tidak jelas aktiviti dan perbelanjaan Yayasan Akalbudi

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Yayasan Akalbudi, Zulkifli Senteri memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, sepanjang 15 tahun memegang jawatan itu, beliau tidak diberikan penjelasan mengenai aktiviti, mesyuarat, penyata kewangan, mesyuarat tahunan (AGM) dan perbelanjaan yayasan itu.

Zulkifli, 68 yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu turut memberitahu beliau tidak tahu di mana lokasi sebenar pejabat Yayasan Akalbudi kerana tidak pernah dijemput menghadiri mesyuarat yayasan itu.

Saksi ke tujuh pendakwaan itu berkata demikian pada hari keempat perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membabitkan 47 tuduhan iaitu 12 dakwaan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 pengubahan wang haram berkaitan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

“Sepanjang menjadi pengarah Yayasan Akalbudi saya tidak pernah menandatangani cek milik yayasan dan tidak menghadiri mesyuarat yayasan.

“Perkara itu berterusan sehingga saya meletak jawatan sebagai pengarah pada 2012, dan menandatangani surat peletakan jawatan disediakan Ahmad Zahid.

“Saya menandatangani surat ini di rumah saya di Bandar Baru Bangi dan dibawa oleh pemandu Ahmad Zahid kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca keterangan saksi dalam prosiding itu di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Dalam prosiding sama, Zulkifli berkata beliau tidak tahu sama ada akaun Yayasan Akalbudi pernah diaudit atau tidak.

Katanya, yayasan itu bagaimanapun mendapat tajaan aktiviti pelajar di Kolej Rahim Kajai Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Hasil perbincangan, saya bersetuju untuk membuat Program Bakti Siswa di Kawasan Bagan Datuk untuk tempoh lapan tahun,” katanya.

Sementara itu, dalam prosiding pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt, saksi itu ketika menjawab mengenai status hak pemilik wang dalam yayasan itu, katanya, ia milik Yayasan Akalbudi.

KENG FATT: Wang dimasukkan dalam akaum Yayasan Akalbudi dikatakan bercampur dengan wang peribadi Ahmad Zahid. Pada fahaman kamu, duit itu milik siapa?

ZULKIFLI: Setahu saya, milik yayasan itu.

KENG FATT: Bolehkah wang dalam yayasan Akalbudi dikeluarkan sewenang- wenangnya?

ZULKIFLI: Jika ikut peraturan, tidak boleh.

KENG FATT: Kenapa anda tidak pernah suarakan cadangan terhadap aktiviti yayasan itu?

ZULKIFLI: Sepanjang tempoh menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah, tiada perbincangan mengenai aktiviti dan perbelanjaan yayasan dibincangkan. Jadi saya tidak tahu ada atau tidak duit.

KENG FATT: Benarkah anda tidak tahu sama ada Program Bakti Siswa di bawah pengendalian Yayasan Akalbudi?

ZULKIFLI: Tidak tahu.

Sementara itu, dalam prosiding sama, ketika pemeriksaan balas oleh Datuk Ahmad Zaidi Zainal, mengenai 100 peratus sumber dana diterima yayasan adalah dari Ahmad Zaid, saksi itu menjawab beliau tidak tahu.

Saksi itu berkata, beliau juga tidak tahu sama ada duit dalam akaun dana itu adalah milik Ahmad Zahid.

“Saya juga tidak tahu sekiranya Ahmad Zahid atau Yayasan Budi ada menaja sebarang aktiviti tuisyen atau kursus motivasi kepada pelajar cemerlang.

“Selain itu, saya juga tidak pasti sama ada program kursus motivasi dijalankan di Kolej Rahim Kajai, UKM dibiayai Ahmad Zahid,” katanya.

Pada 19 Oktober, 14 Disember 2018 dan 20 Februari 2019, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 66, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berita Harian X